Kes Wisma Tok Guru dibicarakan Ahad ini
Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini menetapkan 7 Januari depan bagi pendengaran injunksi erinford yang difailkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa berhubung isu Wisma Tok Guru.
Pada prosiding hari ini permohonan asal plaintif secara ex parte telah ditukar kepada pendengaran secara inter parte, lapor Harakahdaily.
Peguam defendan, Nik Bahrum Nik Abdullah berkata, permohonan plaintif untuk perbicaraan ex parte tidak berjaya dan perbicaraan Ahad ini akan melibatkan kedua-dua belah pihak.
"Hakim membuat keputusan itu setelah mendengar penghujahan dikemukakan pasukan peguam Mohd Yasin Yusoff,” katanya dipetik sebagai berkata.
Perbicaraan itu dikendalikan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache.
Terdahulu, isu Wisma Tok Guru yang dijadikan Pusat Khidmat ADUN Salor menarik perhatian ramai selepas pemilik asal hartanah itu menjual tiga lot tanah kepada Mohd Yasin.
Tanah itu asalnya dibeli bekas ADUN Salor, Allahryarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim dan menamakan isterinya sebagai pemilik.
Namun baru-baru ini tanah berkenaan dijual kepada Mohd Yasin pada harga RM700,000.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Bharu juga menolak permohonan injunksi dikemukakan Husam terhadap pemilikan tanah menempatkan Wisma Tok Guru yang terletak di Kampung Padang Lalang, Mukim Pendek, Salor itu.
Susulan itu, Husam yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
Manakala pengurusan kes itu ditetapkan pada 19 Januari ini.

