Ahli Parlimen minta program Mencari Cinta dihentikan
Seorang penyokong kerajaan hari ini meminta program realiti tv "Mencari Cinta" dihentikan kerana tidak membawa mesej yang baik.
Seorang penyokong kerajaan hari ini meminta program realiti tv "Mencari Cinta" dihentikan kerana tidak membawa mesej yang baik.
Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) semasa membangkitkan perkara itu dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, berkata beliau tidak faham tentang konsep program `Mencari Cinta' yang sedang disiarkan sebuah stesen televisyen swasta itu.
"Saya mahu bertanya apakah program berbentuk mencari cinta ini mempunyai mesej yang tepat kepada masyarakat...
"Apa mesej yang hendak disampaikan. Apa moralnya dalam cerita ini. Kalau moralnya mahu mengajar wanita kita supaya mencari 10 orang lelaki (cara yang dilakukan dalam program itu) dan kemudian menilai mana yang baik dan mana yang tidak, kita minta program ini diberhentikan serta-merta.
"Mesejnya tidak baik, ini rancangan Amerika, kenapa perlu ditiru," katanya yang disambut dengan tepukan meja yang gemuruh anggota dewan.
Jawatankuasa khas
Menurut laporan Bernama, Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang duduk di sebelah Bung Moktar menyokong kenyataan beliau dan turut meminta program seumpama itu dihentikan.
Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansor yang menjawab soalan itu berkata kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengkaji peranan dan tanggungjawab media kepada masyarakat.
Sekiranya jawatankuasa itu mengarahkan mana-mana program realiti tv dihentikan, kementerian itu akan memberhentikannya, katanya.
Shaziman berkata kementerian berkenaan telah meminta stesen tv swasta menyesuaikan format rancangan realiti berdasarkan nilai masyarakat timur.
Setakat ini, katanya, lima tindakan penguatkuasaan diambil terhadap stesen tv dan ada yang sedang disiasat.

