Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) hari ini menjadi sasaran kemarahan ahli Parlimen yang kesal dengan sikap pegawai-pegawainya yang dikatakan tidak menjalankan tugas penguatkuasaan buat beberapa ketika hingga negara kerugian RM7 juta dalam tempoh seminggu.

Dipercayai pegawai-pegawai itu bertindak demikian ekoran tercetusnya isu majlis persaraan Ketua Pengarah mereka didakwa menelan belanja RM5 juta.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) ketika Datuk Mohd Said Yusof (BN-Jasin) membahaskan Rang Undang-undang Bank Islam (Pindaan) 2005 pada persidangan Dewan Rakyat.

Mohamed yang jelas kelihatan marah dengan kejadian itu berkata jika benar laporan akhbar bahawa pegawai-pegawai Kastam memboikot tugas penguatkuasaan kerana terganggu dengan isu majlis persaraan itu, ia adalah perkara serius dan tidak boleh dibiarkan.

"Kalau ini benar (apa yang dilaporkan dalam akhbar) seolah-olah pihak-pihak tertentu marah kerana isu Ketua Pengarahnya dipertikaikan, maka kita hilang cukai begitu banyak, maknanya pegawai-pegawai Kastam ini tidak boleh diusiklah ...(dan keadaan ini) menggugat kepentingan negara.

"Ini isu negara, kalau Kastam boleh menggugat kepentingan negara, negara kita sebenarnya dalam keadaan yang lemah dan kucar-kacir...tidak boleh nak diurus dengan baik," katanya ketika bangun mencelah perbahasan rang undang-undang itu.

Beliau berkata perkara itu perlu dibincangkan segera kerana kehilangan hasil cukai RM1 juta sehari berikutan pegawai-pegawai Kastam hilang tumpuan terhadap kerja, akan menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Gesa ambil tindakan

"Polis kena maki kena tuduh macam-macam tapi polis tetap jalankan kerja, askar kena maki tapi askar jalankan kerja, guru kena tampar tapi anak-anak murid tetap diajar oleh guru-guru, (mereka) tak boikot.

"Saya tahu isu ini kalau kita biarkan, akan berlalu begitu saja (dan) rakyat akan kata, ahli Parlimen semua bengap, tak peka tentang masalah yang dihadapi oleh rakyat dan negara," katanya.

Kenyataan itu disokong Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Ketereh) yang menyifatkan tindakan pegawai-pegawai Kastam itu sebagai bercanggah dengan peraturan dan perundangan negara dan meletakkan negara dalam keadaan tertekan.

Sehubungan itu, menurut laporan Bernama, beliau meminta Kementerian Kewangan mengambil tindakan serta merta terhadap mereka yang terlibat membiarkan negara mengalami kerugian RM7 juta dalam masa tujuh hari.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang turut mencelah perbahasan itu berkata kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap perkara itu kerana ia adalah sesuatu yang amat memalukan.

"Hasil kita telah hilang, RM1 juta satu hari dan sehingga hari ini tidak tahu sama ada mereka telah bekerja atau tidak. Justeru itu kita minta audit dijalankan untuk mengetahui sudahkah mereka bekerja.

"Bagaimanapun, kalau penguatkuasa lain seperti polis, askar, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) ambil tindakan sebegini? Apa akan jadi kepada negara kita? Kita akan lingkup oleh kerana perbuatan mereka," katanya.

Mohd Said pula berkata, Kementerian Kewangan harus tegas dalam mengambil tindakan terhadap Jabatan Kastam memandangkan jabatan itu berada di bawahnya.

"Yang penting kepada kita hari ini ialah Kementerian Kewangan janganlah biarkan perkara ini berlarutan sehingga kabinet terpaksa menegur. Kementerian itu bertanggungjawab untuk mengatasi masalah ini.

"Kalau hal Ketua Pengarah Kastam dan Jabatan Kastam pun Kementerian Kewangan tidak boleh tangani, bagaimana nak menangani masalah bank yang kita bincang sejak tiga hari lalu," katanya sebelum menyambung perbahasan mengenai perbankan Islam.