Seramai 13 pelajar kolej swasta termasuk tiga pelajar wanita didakwa di Mahkamah Majistret Ampang hari ini atas pertuduhan memiliki dadah ganja ketika sedang berpesta menyambut Tahun Baharu 2018 awal pagi Isnin lepas.

Daripada semua suspek, hanya seorang mengaku bersalah, manakala 12 yang lain memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan majistret Haslinda A Raof.

Semua mereka berusia di antara 20 dan 25 tahun.

Hukuman ke atas tertuduh yang mengaku bersalah belum dijatuhkan kerana menunggu laporan kimia.

Kesemua pelajar itu dituduh bersama-sama dengan niat bersama ada dalam milikan mereka dadah berbahaya iaitu kanabis yang anggaran beratnya 11.5 gram di sebuah rumah sewa di Jalan 5/3, Pandan Jaya pada jam 1.20 pagi, 1 Jan lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim menawarkan wang jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Ketika rayuan, Farah yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengurangkan jaminan dan memberitahu dadah berkenaan adalah miliknya manakala tertuduh lain yang juga tidak diwakili peguam, merayu jumlah jaminan yang minimum kerana mereka tidak berkemampuan dan masih belajar.

Mahkamah membenarkan 13 tertuduh itu diikat jamin RM3,600 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Feb untuk sebutan semula kes dan laporan kimia.

Difahamkan, kesemua pelajar itu mengadakan pesta sempena menyambut tahun baharu di rumah sewa rakan mereka.

Hasil siasatan pihak berkuasa menemui dadah di dalam kotak rokok di atas lantai serta di dalam sebuah beg di atas sofa di dalam rumah itu.

- Bernama