Ahli Parlimen tidak puashati Rafidah tidak hadir jawab soalan
Ketidakpuasan hati kalangan ahli Parlimen terhadap penjelasan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai isu pemberian Permit Import (AP) dan ketidakhadiran menteri berkenaan menjawab sendiri soalan itu, telah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri hari ini.
Ketidakpuasan hati kalangan ahli Parlimen terhadap penjelasan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengenai isu pemberian Permit Import (AP) dan ketidakhadiran menteri berkenaan menjawab sendiri soalan itu, telah dimaklumkan kepada Timbalan Perdana Menteri hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak akan memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi setelah beliau pulang dari luar negara.
"Saya telah melaporkan kepada beliau (Najib) tentang perasaan tidak puas hati ahli Parlimen dalam perkara ini. TPM `took note' tentang kemarahan ahli Parlimen dan perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Ketua Pembangkang," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
"Tetapi bukan Ketua Pembangkang sahaja, sebahagian besar ahli Parlimen berkata menteri patut datang menjawab sebagai menghormati dewan," tambahnya.
Mohamed Nazri berkata, sebahagian besar ahli Parlimen turut tidak berpuas hati apabila kementerian tidak menjelaskan kepada orang ramai bahawa pemberian AP kepada ahli Parlimen bukanlah satu keistimewaan, memandangkan semua rakyat Malaysia berhak mendapat satu permit itu.
"Apabila tidak diberi penjelasan, maka rakyat rasa ahli Parlimen lidah bercabang, marah tetapi terima juga AP, sedangkan ahli Parlimen seperti juga warga Malaysia yang lain, berhak dapat AP seorang satu untuk membawa masuk kereta seumur hidup. Ini bukan keistimewaan. Ini hak semua rakyat," katanya.
Patut hadir sendiri
Sehubungan itu, Mohamed Nazri berkata ahli Parlimen merasakan adalah menjadi tanggungjawab menteri berkenaan (Datuk Seri Rafidah Aziz) untuk hadir sendiri di Parlimen bagi menjelaskan isu berkenaan.
"Yang mereka paling marah sekali (keadaan ini), seolah-olah untuk menunjukkan kepada orang ramai iaitu dalam hal ini, oleh sebab nama menteri itu sendiri tidak ada, maka nak menunjukkan seolah-olah dia betul dan nak buat "arm twisting" kepada ahli Parlimen supaya jangan bangkitkan lagi perkara ini.
"Betul tidak betul perkara ini kita kena ukur dari perasaan ahli Parlimen," katanya.
Menurut Bernama, beliau berkata, kebanyakan ahli Parlimen menganggap Rafidah mengelak daripada menjawab soalan berkaitan AP apabila sebanyak kira-kira 15 soalan berhubung isu itu dijawab serentak oleh timbalannya semalam, semasa beliau (Rafidah) berada di luar negara.
"Sebenarnya, kalau menteri nak menjawab sendiri memang boleh jawab, sebab soalan-soalan AP ini datang dari 15 ahli Parlimen. Ini bukan untuk satu hari. Ia ada hari-hari yang dalam senarai soalan Parlimen kita tahu bila soalan ini akan keluar dan kita boleh jawab soalan ini dengan kumpulkannya pada hari yang kita hadir ke dewan, bila ada dalam negara," katanya.
Mohamed Nazri berkata, pada sesi persidangan Dewan Rakyat lalu, Perdana Menteri telah mengarahkan setiap menteri menjawab sendiri soalan yang dikemukakan di Parlimen sekiranya terdapat isu besar berkaitan kementerian masing-masing dan arahan itu masih lagi berkuatkuasa.
Sementara itu, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Ramli Ngah Talib hari ini menolak usul tergempar Ketua Pembangkang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) supaya Jawatankuasa Hak dan Kebebasan menyiasat sama ada terdapat unsur "breach of priviledge" dalam jawapan bertulis Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kepada soalannya berkenaan isu AP.
Lim dalam usul itu mendakwa, jawapan yang diberikan oleh kementerian berkenaan tidak lengkap serta beliau tidak berpuashati kerana menteri berkenaan tidak hadir untuk menjawab soalan berkaitan isu AP.
Pembentangan usul itu turut didengar oleh Timbalan Perdana Menteri yang menghadiri sidang dewan pagi ini.
Reaksi BBC
Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Shahrir Abdul Samad memberitahu malaysiakini, bahawa banyak isu yang dibangkit dan dibincang secara terbuka, tetapi tiada sebarang jawapan mengenainya.
"Parlimen adalah tempat (dan masa) terbaik untuk menyelesaikannya," kata beliau yang juga Ahli Parlimen dari Johor Bahru.
Shahrir berkata, Rafidah boleh mengadakan taklimat khas untuk ahli Parlimen atau memberi jawapannya melalui media.
Bagaimanapun, katanya, memandangkan isu AP telah diletakkan di bawah Pejabat Perdana Menteri, maka BBC akan menunggu jawapannya.
Mengenai ketiadaan berterusan Rafidah di sidang Parlimen, Shahrir berkata apa yang mereka mahu adalah satu penjelasan, tidak kira siapa yang menjawabnya.
Rafidah kini dalam misi perdagangan ke Amerika Syarikat

