Seorang tukang besi yang disyaki mendera anak lelakinya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) sehingga melecur pada kedua-dua belah tapak kakinya direman empat hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah Pendang, DSP Fadzil Hashim berkata perintah tahanan reman terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Alor Setar pagi tadi bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Semalam Bernama melaporkan seorang kanak-kanak lelaki OKU berusia sembilan tahun melecur pada kedua-dua belah tapak kakinya selepas disyaki didera bapanya di rumah mereka di Pendang baru-baru ini.

Laporan polis berhubung kejadian itu dibuat oleh guru sekolah kanak-kanak terbabit pada 1 tengah hari semalam selepas mendapati terdapat kesan melecur itu yang dipercayai terkena besi panas dan kesan lebam di muka.

Mangsa yang merupakan OKU kategori masalah pembelajaran itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut dan kini keadaannya dilaporkan stabil.

- Bernama