Mayat seorang wanita yang ditemui di tepi parit di Batu Hampar, Jalan Mersing-Endau dekat Mersing, kelmarin, dipercayai mangsa banjir di daerah berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Mersing ASP Mohd Nor Mohd Isa berkata mayat Ruzimah R Abd Manap, 42, ditemui orang awam yang melaporkan kepada polis kira-kira 5.40 petang kelmarin.

Menurutnya, lebih kurang jam 5.40 petang kelmarin, balai polis Endau menerima panggilan telefon menyatakan ada menemui mayat seorang perempuan di tepi parit Batu Hampar, Jalan Mersing-Endau.

"Hasil siasatan, si mati tidak pulang ke rumahnya di Felda Endau, Mersing sejak Isnin lalu," katanya malam tadi.

Mohd Nor berkata sebuah motosikal jenis Yamaha dipercayai milik Ruzimah turut ditemui di dalam parit, kira-kira 20 meter daripada mayat mangsa dijumpai setelah air surut di kawasan tersebut.

Beliau berkata bedah siasat terhadap mayat mangsa dilakukan di Hospital Sultan Ismailpada jam 3.30 petang semalam.

Katanya hasil bedah siasat mendapati, punca kematian Ruzimah disebabkan "Traumatic Cardiac Contusion" di mana mangsa jatuh dan menyebabkan lemah di bahagian jantung.

Tiada apa-apa kesan kecederaan akibat khianat ditemui pada badan Ruzimah dan kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

- Bernama