Tiada pelan MCA, Gerakan bersatu
Ketika semua parti politik memperkemaskan persediaan masing-masing menghadapi pilihan raya umum (PRU), Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata MCA tidak bercadang bergabung dengan Gerakan
Berucap di progam Satu Hati di Wisma MCA di Kuala Lumpur hari ini presiden MCA itu berkata langkah yang terbaik untuk kedua-dua parti itu ialah memperkukuhkan kerjasama dalam usaha berkhidmat kepada rakyat.
"Sesetengah rakan media mungkin mahu melihat perhimpunan hari ini sebagai satu permulaan kepada penggabungan MCA dan Gerakan.
"Adalah jelas bahawa kami tidak akan bergabung, sebaliknya kami akan bekerja sebagai satu pasukan di bawah BN dan menghantar mesej penting kepada semua anggota parti - dari atas ke bawah dan bawah ke atas - kita akan bekerjasama," katanya dalam ucapan dasarnya hari ini.
MCA ialah sebuah parti untuk kaum Cina yang bergabung dalam BN, manakala Gerakan adalah pertubuhan politik yang terbuka kepada semua kaum.
Bagaimanapun majoriti anggota Gerakan ialah masyarakat Cina. Suatu ketika dulu parti itu berpengaruh besar dan mentadbir Pulau Pinang.

Bagaimanapun sejak PRU ke-12 (pada 2008) Gerakan dilihat semakin kurang berpengaruh. Di Dewan Rakyat Gerakan hanya mempunyai dua wakil iaitu presiden mereka, Datuk Seri Mah Siew Keong (Teluk Intan) dan Datuk Liang Teck Meng (Simpang Renggam).
Pada masa sama prestasi MCA juga tidak kurang terjejasnya. Di Dewan Rakyat mereka diwakili tujuh anggota, manakala di Selangor dan Pulau Pinang, tiada seorang pun wakil mereka berjaya menduduki kerusi Dewan Undangan Negeri.

Keadaan itu mencetuskan sedikit spekulasi bahawa kedua-dua parti terbabit akan bergabung untuk menjadi lebih kukuh dalam PRU ke-14 tidak lama lagi.
Amalan demokrasi di Malaysia setakat ini berlangsung dengan pihak kerajaan tidak mengumumkan tarikh pembubaran parlimen dan pilihan raya umum sehingga ke saat-saat akhir.
Bagaimanapun mandat yang diperolehi kerajaan pada PRU ke-13 lalu akan berakhir pada Jun ini. Walaupun begitu kebiasaannya parlimen dibubarkan lebih awal untuk membolehkan PRU diadakan.
Kata Liow untuk menjamin kerjasama lebih baik sesama jentera kerajaan bagi menyalurkan khidmat kepada rakyat antara sektor yang perlu diberi perhatian ialah pedidikan Cina.
"Misalnya MCA dan Gerakan - untuk tempoh tiga tahun akan datang - boleh bersama-sama memantau pembinaan 10 sekolah jenis kebangsaan Cina yang baru, serta penempatan semula enam yang lain bagi memastikan pendidikan Cina terus berkembang," katanya.

