Cuaca yang bertambah baik menyaksikan jumlah mangsa banjir di Pahang mulai berkurangan setakat jam 9 pagi ini kepada 6,575 orang ditempatkan di 42 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 7,560 orang malam tadi.

Menurut Portal Infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak lapan buah daerah di negeri ini dengan daerah Kuantan masih merekodkan jumlah mangsa paling banyak iaitu 4,954 orang yang ditempatkan di 22 PPS.

"Daerah Pekan mencatatkan 1,278 mangsa yang ditempatkan di tujuh PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merchong Jaya sebanyak 548 orang, Sekolah Sinar Mutiara Sungai Miang (414 orang),

"Selain itu mangsa turut ditempatkan di SK Permatang Keledang (224), Balai Raya Kampung Menchupu (65), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (13), SK Temai (12) dan dua orang di Balai Raya Kampung Tebat,” menurut portal itu.

Dalam pada itu, di Bera terdapat 138 orang ditempatkan di lima buah PPS iaitu SK Kuala Triang (71), SK Charuk Puting (24), Masjid Kampung Mengkarak (18), Masjid Kuala Bera (13) dan Balai Raya Kampung Seberang Guai (12).


Di Maran terdapat 93 orang ditempatkan di tiga PPS iaitu Balai Raya Kampung Baru Pertanian (31), SK Pesagi (sembilan) dan SM Tengku Ampuan Afzan (53).

Di Temerloh, 17 mangsa dipindahkan ke dua PPS iaitu Surau Kampung Lompat (11) dan SK Telok Ira (enam).

Tiga lagi daerah, masing-masing masih mempunyai satu PPS yang dibuka iaitu Dewan Serbaguna Jerantut Feri, Jerantut yang menempatkan 26 orang, Dewan Bukit Kota, Lipis yang menempatkan 10 orang dan Balai Raya Rekoh di Rompin membabitkan 60 mangsa banjir.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang Dr Tajuddin Yusof berkata, sebanyak 27 buah sekolah di enam daerah telah digunakan sebagai PPS iaitu 17 di Kuantan, Pekan (lima), Temerloh (dua) dan masing-masing sebuah sekolah di Jerantut, Bera dan Maran.

Di Kuala Terangganu, jumlah mangsa banjir di Terengganu menurun kepada 2,270 orang daripada 541 keluarga pagi tadi berbanding 2,338 mangsa daripada 564 keluarga malam tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata ketika ini, hanya satu daerah masih terjejas banjir di Terengganu iaitu Kemaman dengan sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka berbanding 13 PPS semalam.

Katanya, pengurangan mangsa dijangka terus berlaku pada waktu tengah hari dan petang berikutan cuaca kini yang semakin baik.

Empat PPS yang ditutup ialah PPS Lubuk Megat, Masjid Kampung Batu 16, Dewan Orang Ramai Batu 14 dan Surau Hj Othman Kampung Seberang Tayor Hulu.

PPS yang masih dibuka ialah Surau Kampung Ban Ho yang menempatkan 18 mangsa daripada tiga keluarga, PPS Kg Pasir Gajah 12 mangsa daripada empat keluarga dan Surau Pulau Tempurung, 105 mangsa daripada 18 keluarga.

Seramai 226 mangsa daripada 60 keluarga pula ditempatkan di PPS Dewan Orang Ramai Felda Seberang Tayor, SK Chukai (179 mangsa daripada 41 keluarga) dan SK Binjai (84 mangsa daripada 17 keluarga).

Jumlah mangsa kekal di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok, Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman dan SK Seri Iman.

Manakala jumlah mangsa banjir di Segamat meningkat sedikit kepada 38 orang daripada 11 keluarga pagi ini berbanding 34 orang daripada sembilan keluarga petang semalam, yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara di daerah itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 8 pagi ini, seramai 28 orang daripada tujuh keluarga ditempatkan di Balai Raya Kampung Mensudut Lama.

"Kesemua mereka melibatkan 14 lelaki dan wanita, 12 kanak-kanak serta dua bayi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ayub berkata seramai 10 orang daripada empat keluarga melibatkan enam lelaki dan wanita serta empat kanak-kanak ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Balai Badang.

Beliau berkata keadaan cuaca di Segamat buat masa ini mendung dan pemantauan di kawasan terbabit sedang dilakukan berterusan oleh pelbagai agensi dan pejabat daerah.

Di Kota Kinabalu, jumlah mangsa banjir di daerah kecil Membakut kekal 637 orang daripada 221 keluarga setakat 8 pagi tadi.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, sebanyak 463 orang daripada 162 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah St Patrick, 127 orang daripada 45 keluarga di Dewan Serbaguna Membakut dan 47 lagi daripada 14 keluarga ditempatkan di Bangunan KAFA Mambakut.

Bacaan paras air Sungai Membakut menurun kepada 5.61 meter berbanding 5.86 meter malam tadi.

- Bernama