GLOBAL | Selaras dengan pelaksanaan cukai nilai tambahan (VAT) diperkenalkan kerajaan, Raja Salman Abdulaziz al-Saud mengarahkan gaji serta elaun kakitangan awam dinaikkan.

Menurut pemerintah Arab Saudi itu kenaikan berkenaan dibuat bagi membantu meringankan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat negara terbabit.

Media melaporkan kerajaan mula membayar bonus kepada kakitangan awam serta anggota tentera mulai 1 Jan lalu. Ia juga adalah tarikh VAT mula dilaksanakan di negara yang kaya dengan petroleum berkenaan.

Cukai itu dilaksanakan dalam usaha kerajaan mengukuhkan struktur ekonomi negara yang kini sedang menjalankan kempen ketenteraan di Yaman.

Untuk anggota tentera yang bertugas menghadapi pemberontak Yaman, mereka menerima bonus 5,000 riyal (RM5,350) sebulan sebagai elaun kos sara hidup.

Memetik perintah dikeluarkan Raja Salman, media tempatan melaporkan elaun itu dibayar secara tetap selama setahun.

Untuk kakitangan awam pula mereka diberikan bonus bulanan 1,000 riyal (RM1,065).

Bantuan beli rumah hampir RM1j

Saudi Press Agency (SPA) menyatakan arahan itu dikeluarkan selepas anak Raja Salman, Putera Mohammed memberitahu langkah diambil kerajaan "akan menambah beban sesetengah rakyat" Arab Saudi.

Tidak cukup dengan itu Raja Salman juga memberi perintah supaya pesara kerajaan diberikan bayaran 500 riyal (RM533) sebulan dan 500 riyal lagi sebagai tambahan untuk skim perlindungan sosial.

Bagi pelajar pula SPA melaporkan mereka menaikkan elaun sebanyak 10 peratus dan kos tanggungan VAT ke atas warganegara kini ditanggung kerajaan.

Bagi rakyat Arab Saudi yang ingin membeli kediaman pertama, kerajaan menanggung VAT yang dikenakan tetapi terhad kepada 850,000 riyal (RM906,000).

VAT adalah cukai tidak langsung dikenakan kerajaan ke atas semua barang dan perkhidmatan - dengan sedikit pengecualian - yang dikendalikan secara perniagaa.

Menurut laman sesawang kerajaan, VAT dilaksanakan di lebih 160 negara di seluruh dunia sebagai sumber kerajaan meningkatkan dana.

VAT itu dikenakan pada setiap peringkat rangkaian perbekalan, dari tahap pengeluaran dan pengedaran sehingga ke jualan akhir.

Pengguna membayar kos VAT bagi setiap pembelian barangan atau perkhidmatan. Pihak peniaga pula membayar kutipan cukai itu kepada kerajaan dan mengembalikan VAT yang dibakar kepada pembekal.