Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Siapa tokoh yang ditawarkan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menjadi perdana menteri jika mereka berjaya mengetepikan BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 masih belum diputuskan.

Dapat difahami beberapa pihak menegaskan keperluan menamakan calon perdana menteri sangat penting sebagai persediaan HARAPAN menarik minat pengundi.

Pada masa sama, ia juga dilihat menjadi beban kepada gabungan empat parti pembangkang berkenaan kerana sehingga kini belum ada kesepakatan dicapai.

Mandat kerajaan BN yang diperoleh melalui PRU ke-13 lalu bakal berakhir pada Jun ini dan parlimen akan terbubar secara automatik jika ia tidak dilakukan kerajaan sebelum tarikh berkenaan.

HARAPAN kini dilihat terus menerus berteka-teki mengenai calon perdana menteri mereka.

Namun, apa yang disuarakan barisan kepimpinan HARAPAN bukanlah suatu perkara remeh buat penyokong mereka.

Ketika sesetengah pihak berasa bosan dengan cara isu itu diperkatakan, di sisi lain mereka bersikap terbuka, malah menganggap polemik mengenainya menjadi semangat untuk mereka mendorong berlaku perubahan di negara ini.

Bercakap kepada Malaysiakini, Shasha Virayam, 38, berkata dia tidak berasa 'penat' mendengar ucapan berdentam-dentum kepimpinan parti itu dalam pelbagai perkara.

Malah, perwakilan DAP dari Perak itu (gambar) menegaskan apa yang dibangkitkan pemimpin HARAPAN bukanlah perkara yang “syok sendiri”.

“Saya tak penat (dengar ucapan pemimpin HARAPAN) sebab apa yang kita laungkan ini bukan hanya syok sendiri.

“Kita ada agenda kita iaitu menawan Putrajaya. Jadi persoalan mengenai calon perdana menteri dan isu-isu lain dibangkitkan adalah untuk langkah politik dan apa yang lebih penting, mesej sampai kepada rakyat,” katanya.

Shasha ditemui Malaysiakini sempena Konvesyen Wanita HARAPAN di Kajang, Selangor hari ini.

Niat biar betul

Shasha yang juga Setiausaha Eksklusif HARAPAN Perak berkata isu calon perdana menteri perlu dilihat dari sudut pandang yang lebih besar.

“HARAPAN tidak syok sendiri tetapi kita ada rekod yang baik dengan mentadbir dua negeri (Selangor dan Pulau Pinang).

"Isu calon perdana menteri ini bukan semata-mata mengenai siapa yang akan dipilih tetapi untuk memajukan negara kita sekali gus membanteras segala salah laku yang ada,” tegas Shasha.

Perwakilan PKR dari Petaling Jaya, Sharifah Khadijah (gambar), berkata isu calon perdana menteri belum disepakati komponen HARAPAN adalah perkara biasa.

Namun, bagi wanita berusia 60-an itu apa yang dibangkitkan itu menyemarakkan lagi semangat anggota parti menghadapi PRU ke-14 nanti.

“Kami tak jemu dengan isu calon perdana menteri, sebaliknya makin bersemangat adalah.

"Insya-Allah kalau nawaitu kita betul, kita boleh menang,” katanya.

Sharifah Abdul Kadir, 42, berkata apa yang dibangkitkan pemimpin kepada penyokong HARAPAN adalah suntikan semangat kepada akar umbi untuk terus bergerak mempengaruhi pengundi untuk menolak BN.

“Saya tak rasa ia memenatkan kerana ucapan-ucapan tersebut akhirnya menuju yang satu matlamat, iaitu bersepakat menuju gerak kerja yang lebih terarah.

“Jadi, semua itu adalah semangat kita di peringkat akar umbi. Kalau semua diam, macam mana kita di bawah nak bergerak?" kata perwakilan Parti Amanah Negara (AMANAH) Hulu Langat itu (gambar).

Malah menurut Sharifah soal siapa calon perdana menteri amat penting buat akar umbi.

“Keyakinan dan wawasan kita terhadap siapa bakal pemimpin kita adalah penting kerana ia akan memberi keyakinan kepada akar umbi, namun siapa pun calon yang diputuskan kepimpinan kami akan sokong,” tegas Sharifah.

Nak yang baru

Namun, berbeza dengan Azura Hussin, 40, dari Kelantan.

Anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu mengakui semakin "penat" dengan apa yang dilaungkan kepimpinan partinya.

Malah, Azura (gambar) mahu pemimpin gabungan pembangkang itu berhenti daripada sekadar bercakap berdegar-degar.

“Memang penatlah dan kita rasa dah tak sanggup lagi nak tunggu dah, sebab kita rasa terlalu banyak tekanan - dari kiri, kanan, depan dan belakang.

“Kita tak perlukan lagi laungan-laungan itu, kita kena bertindak dah sekarang ini dan laksanakannya segera," katanya.

Menurut Azura pemimpin HARAPAN perlu berhenti bercakap soal perdana menteri, sebaliknya memberi fokus kepada masalah rakyat dan bagaimana menyusun mereka berani bangkit demi pembaharuan Malaysia.

“Kita tak mahu lagi kepimpinan yang lama, kita mahu (kepimpinan) yang baru,” kata Azura.

Wanita HARAPAN mengadakan konvensyen selama sehari hari ini di Kajang, Selangor.

Konvensyen itu diadakan ketika semua pihak sedang mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang akan diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.

Pada konvensyen tersebut kira-kira 1,000 perwakilan hadir bagi mendengar ucapan keramat barisan kepimpinan parti mereka.

Turut hadir di konvensyen hari ini ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, wakil DAP yang yang juga exco Pulau Pinang, Chong Eng dan Ketua Wanita HARAPAN Zuraida Kamaruddin.

Esok pemimpin utama HARAPAN akan berkumpul di Shah Alam pula untuk menghadiri konvensyen tahunan gabungan berkenaan.

Antara isu utama yang menjadi perhatian ialah mengenai calon perdana menteri HARAPAN yang dapat dipersetujui semua pihak.

Lihat Komen
ADS