RELA mengamuk pecahkan skrin ATM
Gara-gara gagal mengeluarkan wang, seorang peniaga naik berang dengan memecahkan skrin mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sebuah bank di Jalan Pahlawan di Sibu, malam tadi.
Dalam kejadian jam 11.40 malam itu, lelaki berusia 44 tahun itu, yang juga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), menggunakan tong sampah di tepi mesin itu untuk memecahkan skrin ATM berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zailanni Amit berkata suspek ditahan di bilik ruang ATM bank berkenaan dan didapati di bawah pengaruh alkohol.
"Siasatan awal mendapati suspek mengaku melakukan perbuatan itu kerana gagal mengeluarkan wang dari ATM itu,”katanya di Sibu hari ini.
Beliau berkata, pihak pengurusan bank berkenaan telah dimaklumkan berhubung kejadian itu dan suspek akan ditahan reman untuk siasatan lanjut. -Bernama

