'Kemaafan Hadi bukti PAS tidak pernah berdendam'
Tindakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memaafkan Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan parti islam itu tidak pernah berdendam dengan sesiapa, kata timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
"Sebagai manusia, memang kita tidak sunyi dari salah silap. Namun apa yang penting ialah tidak mengulangi kesilapan, melakukan perubahan dan bertaubat terhadap kesalahan lampau.
"Namun dalam urusan taubat, ia adalah urusan seseorang itu dengan Allah dan sekiranya melibatkan manusia, dia perlu memohon maaf kepada mangsa yang terlibat.
"Tindakan tuan guru presiden PAS memaafkan Tun Dr Mahahir Mohamad membuktikan PAS tidak pernah berdendam dengan sesiapa dan sedia memaafkan kesilapan lampau," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.
Khamis lalu Abdul Hadi berkata, beliau memaafkan bekas perdana menteri itu kerana memanggilnya pengkhianat dan bekerjasama dengan Umno yang pernah digelarnya sebagai 'kafir'.
Dalam rakaman video di Facebook, Anggota Parlimen Marang itu juga berharap Mahathir insaf dengan perbuatannya memandangkan beliau sudah berusia.
"Antara saya dan dia saya maafkan. (Antara) dia dan tuhan, dia kena bertaubat.
"Dia orang tua, biar dia insaf sendiri.
"Kita ingat biar dia insaf sendiri. Dia duduk sorang-sorang, fikir sendiri. Dia kena banyak baca buku. Jangan baca buku perubatan je. Buku Islam pun dia kena baca," kata Abdul Hadi.
Sebelum itu Mahathir menggelar Hadi sebagai pengkhianat kerana “membantu” Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak walaupun tahu beliau akan hilang banyak kerusi.
Beliau juga menyindir Hadi yang bekerjasama dengan Umno, yang didakwanya pernah digelar PAS sebagai “kafir”.
“Najib ini kafir menurut PAS dan Hadi pernah kata jika kamu bekerjasama dengan kafir, kamu pun jadi kafirlah.
“Jadi sekarang dia bekerjasama dengan Umno dan pada suatu masa dengan DAP, dia sendiri pun kafirlah,” kata pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.
'Jangan sibuk cabut kemuncup'
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, tindakan Abdul Hadi memaafkan Mahathir juga dibuat kerana beliau tidak mahu terjerat dengan permainan politik yang mengganggu persiapan PAS dan ahli-ahlinya menjelang PRU14.
"PAS mengingatkan seluruh jentera mengikut langkah Presiden PAS agar fokus kepada gerak kerja pilihan raya dan tidak tenggelam dengan agenda pihak lain.
"Jangan sibuk melayan serangan politik terdesak yang menjauhkan kita daripada tugas sepatutnya.
"Pendek kata jangan sibuk mencabut kemuncup ketika bertempur di dalam permainan bola sepak," katanya.

