Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPR: Aduan persempadanan semula ada yang propaganda
Diterbitkan:  Jan 7, 2018 11:25 AM
Dikemaskini: 3:41 AM

Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berkata tidak banyak menerima aduan atau rungutan berkaitan sistem dan proses pilihan raya di negara ini.

"Aduan dan rungutan tersebut kebanyakannya adalah bersifat persepsi dan andaian semata-mata seperti data tidak bersih, wujud pengundi hantu, pemindahan pengundi dan ketidaktelusan dalam pilihan raya.

"Pada PRU-13 lalu, daripada sebanyak 13.2 juta orang atau 84.4 peratus yang keluar mengundi hanya 1,469 atau 0.011 peratus pengundi sahaja yang membuat aduan.

"Dengan jumlah pengadu yang begitu sedikit ia tidak mencacatkan keputusan pilihan raya itu," kata Mohd Hashim dalam wawancara eksklusif Mingguan Malaysia hari ini.

"Dalam menghadapi PRU-14 ini pula aduan dan rungutan yang diterima berkaitan daftar pemilih dan persempadanan semula kononnya proses persempadanan semula yang bertujuan membantu pihak tertentu memenangi pilihan raya," kata beliau menjawab soalan berkenaan aduan yang dibuat parti-parti politik kepada SPR.

Malaysiakini melaporkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Dr Mahathir Mohamad ketika berucap dalam AGM parti itu di Shah Alam pada 30 Disember 2017 lalu mempersoalkan kewujudan banyak nama pengundi yang mencurigakan dalam senarai pemilih dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Dr Mahathir membacakan nama-nama itu dari senarai yang ada padanya bekas perdana menteri berkenaan berkata, antara nama paling popular dan mempunyai persamaan ialah Fatimah Ismal yang ada 206 orang di Kedah, 210 di Kelantan, 104 di Pahang dan 360 di Terengganu.

“Selain itu nama Ismail Abdullah, Ismail Ahmad, di semua negeri ada nama yang sama.

"Ada 804 Ismail Ibrahim, 763 Fatimah Abdullah, 670 Abdullah Ismail, 654 Ismail Ahmad, 608 Ismail Abdulah, 521 Ismail Awang," kata Mahathir bersambut gelak ketawa perwakilan serta pemerhati persidangan kali pertama BERSATU itu.

Jejas kredibiliti SPR

Sementara itu, Mohd Hashim berkata SPR mengambil perhatian terhadap semua aduan dan rungutan itu.

"Namun begitu SPR harus meneliti kerana kebanyakkannya adalah yang bersifat propaganda dengan tujuan untuk menjejaskan kredibiliti SPR di saat menjelangnya PRU-14," kata beliau.

Pada masa ini, kata Mohd Hashim, SPR sedang menjalankan inkuiri awam kali pertama bagi persempadanan semula kawasan pilihan raya di negeri Selangor.

"Proses ini (di Selangor) telah terhenti sejak setahun lalu berikutan ada pihak yang mencabarnya di mahkamah.

"Proses persempadanan semula di negeri-negeri di Tanah Melayu yang lain telah pun selesai," kata beliau lagi menjawab dakwaan pembangkang persempadanan semula dibuat bagi memberi kelebihan kepada parti pemerintah Umno dan Barisan Nasional.

Pada Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman kerajaan Selangor bagi mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya parlimen dan Dewan Undangan Negeri Selangor oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau berkata pembangkang hanya melihat peluang untuk menang atau kalah semata-mata.

"Jika persempadanan semula SPR akan membantu pihak tertentu untuk menang sudah tentu negeri-negeri (Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan) tersebut tidak akan jatuh
kepada pihak lain.

Jumaat lalu, Malaysiakini melaporkan wakil rakyat serta pengundi parlimen Petaling Jaya Selatan (PJS) membuat bantahan terhadap persempadan semula SPR ke atas kawasan mereka.

Antara bantahan itu adalah berhubung tindakan SPR yang memindahkan tiga daerah mengundi kawasan parlimen Shah Alam ke kawasan parlimen mereka.

Pada Julai tahun lalu, pertubuhan pendesak pembaharuan pilihan raya, BERSIH, menggesa kabinet membincangkan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa mereka melakukan persempadanan semula melalui 'pintu belakang' dan mungkin menjejaskan hasil pilihan raya akan datang.

Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah menyampaikan hal itu dalam pertemuan beliau dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low.

Merujuk kepada persempadanan semula yang kontroversi di Kuala Kubu Bharu, Maria berkata SPR mendakwa apa yang terjadi adalah 'kesilapan urusan pentadbiran yang membetulkan sempadan'.

Bagaimanapun kata Maria amalan itu sepatutnya tidak dibenarkan dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya.

 

 

Lihat Komen
ADS