Paling Popular
Terkini

Timbalan Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan PAS dan Umno kini sedang berkhalwat.

Muhyiddin berkata dakwaan tersebut dibuat beliau ekoran kerjasama yang terjalin antara kedua parti itu.

“PAS yang sebelum ini menunjukkan minat untuk bersama kita sudah pun terpisah, tidak bersama kita dan nampaknya mereka pun sedang berkhalwat dengan Umno,” kata Muhyiddin ketika berucap dalam Konvensyen HARAPAN 2018 di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam, hari ini.

Kata Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ekoran keadaan itu HARAPAN kita mempunyai peluang lebih mudah untuk menawan Kelantan.

“Jadi untuk rakyat Kelantan lebih mudah, mereka akan sokong HARAPAN, mereka akan tentang sesiapa sahaja yang berkhalwat dengan Umno dan Umno sendiri dan insya-Allah HARAPAN akan mencapai kemenangan dalam pilihan raya nanti,” kata Muhyiddin.

Keretakan mula terlihat dalam Pakatan Rakyat ekoran perbalahan antara DAP dan PAS, selepas kerajaan Kelantan meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015, atau hudud, pada 19 Mac 2015.

Pada 16 Jun 2015, DAP melalui setiausaha agungnya Lim Guan Eng mengumumkan berkuburnya Pakatan Rakyat, atas sebab PAS tidak lagi menghormati prinsip bersama.

Perkembangan beberapa bulan itu termasuklah penubuhan parti serpihan PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) pada 16 September 2015 serta penubuhan Pakatan Harapan (HARAPAN) seminggu kemudian untuk menggantikan Pakatan Rakyat.

Sementara itu Muhyiddin yang juga anggota Parlimen Pagoh memberi amaran kepada gabungan empat parti pembangkang itu agar tidak mensabotaj calon yang ditampilkan HARAPAN pada PRU 14.

Pengundi adalah 'raja'

“Kita mesti sokong calon tak kira parti mana. Tun Mahathir Mohamad beri arahan tak kira kerusi siapa bertanding semua adalah calon kita walaupun itu bukan kawasan kita tandingi.

“Sokong 100 peratus. Jangan ada sabotaj, siapa sabotaj adalah pengkhianat,” kata Muhyiddin.

Kata Muhyiddin lagi, ini kerana setiap pengundi adalah 'raja' dan mereka perlu membela nasib rakyat Malaysia.

“Kita pejuang barisan depan untuk yakinkan rakyat. Siapa nak berjuang untuk mereka,” katanya.

Muhyiddin dalam masa yang sama turut menyatakan setiap parti dalam HARAPAN akan meletakkan calon terbaik.

“Tak ada kawasan tak ditandingi Pakatan Harapan. Kedua-duanya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN),” kata Muhyiddin lagi.

 

Lihat Komen
ADS