Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M, Muhyiddin beri bayangan medan tempur PRU14

Dinamakan sebagai calon perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau mempunyai beberapa kerusi yang berpotensi untuk ditandingi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya buat masa ini ada tiga kerusi yang dianggap sesuai iaitu Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

“Saya dah tentukan bahawa ada tiga tempat untuk saya bertanding iaitu tempat asal saya dulu - Kubang Pasu - atau Langkawi dan Putrajaya,” katanya dalam sidang media di akhir Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) di Shah Alam, hari ini.

Ketiga-tiga kerusi yang dinamakan Dr Mahathir itu memang signifikan kepadanya.

Beliau mewakili kawasan Kubang Pasu di Kedah sejak ia diwujudkan pada PRU keempat (1974) sehinggalah meletak jawatan pada 2004.

Pada masa sama Langkawi begitu dekat dengan Dr Mahathir kerana beliau bertanggungjawab mempromosi serta membangunkan pulau peranginan itu.

Dr Mahathir juga menjadi ketua penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Langkawi.

Putrajaya pula boleh dikatakan sinonim dengan pengerusi BERSATU itu kerana beliau bertanggungjawab sebagai perancang utama untuk membina pusat pentadbiran kerajaan pusat itu pada akhir 1990-an.

Sementara itu Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin pula berkata ada beberapa kerusi yang mungkin boleh ditandinginya pada PRU ke-14 nanti.

Kini mewakili Pagoh, bekas timbalan perdana menteri itu berkata beliau sedia mempertahankan kerusi itu jika pengundi di sana mahukannya.

"Saya banyak kerusi boleh ditandingi. Pagoh ada, Muar pun ada.

"Dan kalau Pagoh masih mahukan saya, saya akan pertimbangkan," katanya.

Muhyiddin mewakili Pagoh sejak lima penggal lalu, namun pada masa sama bukanlah asing di Muar.

Muar pernah menyaksikan abang sulungnya Muhyiddin, Tan Sri Abdul Aziz Yassin, menjadi wakil rakyat di situ pada tahun 1990-an dan pernah menjadi Ketua Bahagian Umno.

Dalam PRU ke-13, Muar dimenangi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim. Beliau mempertahankan kerusi berkenaan untuk BN dengan majoriti 1,646 undi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS