Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
HARAPAN ikrar selesai masalah kos sara hidup
Diterbitkan:  Jan 7, 2018 6:29 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

HARAPAN mengeluarkan dokumen resolusi konvensyennya hari  ini yang diberi nama Muafakat Pakatan Harapan, berupa janji-janji parti-parti dalam gabungan itu bagi menghadapi PRU-14 ini.

Ketua setiausaha HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah membacakan janji-janji itu dalam di IDCC, Shah Alam.

"Rasuah bermaharajalela, hutang negara menggunung, nilai ringgit susut dan hilang daya saing.

"Sedangkan rakyat terbeban dan menderita kerana harga barang serta kos perkhidmatan terus meningkat dalam keadaan pendapatan tidak mencukupi," kata Saifuddin membacakan pembukaan dokumen Muafakat HARAPAN itu.

Dokumen itu menggariskan 13 janji untuk dilaksanakan jika mendapat mandat rakyat untuk membentuk kerajaan persekutuan selepas PRU-14 nanti.

Antaranya, HARAPAN berjanji untuk mengambil langkah-langkah segera memulihkan ekonomi negara dan meringankan beban kos sara hidup rakyat.

"Antaranya menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), menstabilkan harga petrol dan memberikan fokus utama kepada usaha menambah pendapatan rakyat," kata Saifuddin.

Muafakat HARAPAN berikrar membentuk kabinet berwibawa selain memperkukuh parlimen. HARAPAN juga berjanji melaksanakan reformasi menyeluruh di Malaysia.

"Meliputi reformasi institusi, reformasi pendidikan, reformasi ekonomi dan reformasi sosial," kata Saifuddin.

HARAPAN akan mengehadkan tempoh masa memegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal pilihanraya sahaja.

"(Ia) untuk memugar dan menyihatkan amalan demokrasi terbaik serta mempertegas prinsip kebertanggungjawaban dalam urus tadbir negara," kata Saifuddin.

Selain mengulang komitmen membanteras rasuah di Malaysia, Muafakat HARAPAN juga berjanji membela kebajikan rakyat.

"Membersihkan Malaysia dari najis rasuah dengan mendakwa pelaku rasuah di mahkamah.

"Membela kebajikan rakyat terutamanya golongan miskin, ibu tunggal, orang kelainan upaya dan kumpulan berpendapatan rendah.

"Mengkaji semua sistem percukaian negara untuk memastikan pembayara cukai, terutamanya golongan kelas menengah , tidak tertekan dengan bebanan cukai yang berganda," ucap Saifuddin membacakan dokumen itu.

HARAPAN juga berjanji memastikan institusi awam seperti Felda, Tabung Haji, Kumpula Wang Simpanan Pekerja dan Majli Amanah Rakyat diurus secara cekap, telus dan amanah.

Janji HARAPAN tidak melupakan masyarakat luar bandar, khususnya rakyat Sabah dan Sarawak.

"Merapakan jurang pembangunan antara bandar dan desa, serta antara wilayah dengan tumpuan khusus kepada hak rakyat Sabah dan Sarawak sejajar dengan semangat Perjanjian Malaysia," kata Muafakat HARAPAN lagi.

Konvensyen HARAPAN hari ini juga turut menamakan Dr Mahathir Mohamad sebagai calon PM, manakala Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

Lihat Komen
ADS