Lima lagi wartawan akhbar arus perdana di Negeri Sembilan menerima ugutan bunuh menerusi panggilan telefon dari lelaki yang tidak dikenali antara kira-kira jam 11 hingga 12 malam tadi.

Sehubungan itu, kelima-lima wartawan berkenaan yang berumur di antara 29 dan 36 tahun, membuat laporan polis di Balai Polis Seremban antara jam 11 pagi hingga 1 petang di Seremban hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Hasanudin Hasan yang mengesahkan menerima laporan itu berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah.

"Kertas siasatan sudah dibuka dan siasatan menjurus semua aspek," katanya.

Menurut Bernama, lima wartawan itu mewakili akhbar berbahasa Melayu dan Inggeris cawangan Seremban.

Panggilan dari lelaki yang dipercayai menggunakan telefon awam itu, membangkitkan laporan yang ditulis mengenai seseorang, turut mengancam untuk datang ke rumah, membakar pejabat dan membunuh wartawan itu.

Isnin lalu, seorang wartawan sebuah akhbar arus perdana di Seremban, menerima ugutan bunuh daripada seorang lelaki bergelar datuk berhubung berita yang ditulisnya mengenai sebuah persatuan penerbangan.

Wartawan berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Seremban.