Pembunuhan tentera: Penduduk dilarang bercakap dengan wartawan
Penduduk kampung yang keluar dari tempat perhimpunan mereka di Kampung Tanjung Lima di Narathiwat ketika dua anggota marin tentera Thai ditahan, kemudian dibunuh semalam, diarah oleh "ketua" mereka agar jangan bercakap dengan wartawan Malaysia.
Penduduk kampung yang keluar dari tempat perhimpunan mereka di Kampung Tanjung Lima di Narathiwat ketika dua anggota marin tentera Thai ditahan, kemudian dibunuh semalam, diarah oleh "ketua" mereka agar jangan bercakap dengan wartawan Malaysia.
Sebaliknya, mereka menggeleng-gelengkan kepala sambil berkata: "Saya tidak dibenarkan bercakap" apabila penulis ini cuba mendapatkan maklumat lanjut berhubung apa yang berlaku di perhimpunan itu.
Kedua-dua anggota tentera yang terbunuh itu dikenali sebagai Lt. Vinai Nakbut dan Sarjan Kamthon Tongaid. Mereka sebelum itu ditahan penduduk kampung berkenaan kerana disyaki terlibat menembak mati tiga penduduk dan mencederakan tiga yang lain.
"Saya tidak dibenarkan bercakap," ujar seorang lagi lelaki berusia 40-an yang mendukung anak kecilnya keluar bersama beberapa wanita dari tempat perhimpunan.
Bernama melaporkan, beberapa wanita yang bertutup muka dengan kain tudung, juga tidak menghiraukan teguran dan pertanyaan pemberita walaupun beberapa kali soalan yang sama diajukan.
Kebanyakan penduduk menunjukkan reaksi tidak selesa apabila cuba dihampiri pemberita. Mereka menggeleng atau menundukkan kepala, memandang ke arah lain dan cepat-cepat berlalu.
Enam wartawan dari Malaysia, termasuk Bernama "dijemput" oleh pihak berkuasa Thai untuk membantu merundingkan pembebasan dua anggota tentera terbabit yang menjadi tebusan penduduk tempatan kerana penduduk itu sendiri dikatakan tidak yakin dengan media tempatan.
Untuk tujuan itu, wartawan Malaysia terbabit diterbangkan dengan helikopter Tentera Udara Diraja Thailand dari pekan Sungai Golok ke tempat kejadian yang mengambil masa perjalanan 16 minit.
Kawalan ketat
Bagaimanapun setiba di kampung itu wartawan terbabit dan wakil-wakil media tempatan tidak dibenarkan masuk ke kawasan di mana penduduk sedang berhimpun. Mereka sebaliknya diarah berkumpul dengan kawalan ketat pasukan keselamatan di satu lokasi kira-kira 500 meter dari tempat perhimpunan itu.
Selepas kira-kira 10 minit menunggu, maklumat diterima mengatakan kedua-dua anggota tentera itu telah ditikam hingga mati oleh lima atau enam lelaki yang menyerbu masuk ke tempat mereka ditahan.
Penahanan dan pembunuhan anggota tentera itu dikatakan ada kaitan dengan kejadian sehari sebelum itu di mana enam penduduk kampung ditembak oleh orang yang tidak dikenali mengakibatkan tiga terbunuh dan tiga lagi cedera parah.
Penduduk dikatakan marah dengan kejadian itu dan mengsyaki ia dilakukan oleh anggota tentera yang meronda di perkampungan yang 100 peratus penduduknya Melayu Islam.
Kedua-dua anggota tentera itu dikatakan ditahan dan dibunuh dalam sebuah bilik bacaan bersebelahan masjid Kampung Tanjung Lima.
Wakil Perbadanan Penyiaran British (BBC) yang dikenali hanya sebagai Dania berkata pembunuhan dua anggota tentera itu berlaku kira-kira 34 minit sebelum ketibaan wartawan Malaysia.
Sebelum itu pasukan keselamatan Thai dikatakan berjanji bahawa wartawan Malaysia itu akan tiba di situ untuk merundingkan pembebasan tebusan pada 2 petang waktu Thailand.
Kebimbangan
Sebaik saja mayat kedua-dua tebusan itu dikeluarkan para wartawan dan anggota tentera Thai diarahkan beredar dari lokasi perhimpunan atas alasan keselamatan.
Seorang anggota tentera yang ditemui di tempat kejadian Kolonel Apithuan Swarngpob mendakwa kedua-dua anggota tentera itu telah mati dibunuh oleh penduduk kampung.
"Semua wartawan diminta beredar dari situ kerana bimbang penduduk kampung akan bertindak lebih agresif," katanya.
Yulpisman Asli dari Utusan Malaysia yang turut sama dalam rombongan wartawan Malaysia itu berkata beliau bersimpati dengan peristiwa itu.
Penulis ini yang meninjau ke kawasan berdekatan mendapati ramai anggota tentera yang lengkap dengan senjata automatik berkawal di sepanjang jalan sejauh kira-kira lima kilomter yang dilalui oleh wartawan Malaysia.
Ekoran kejadian itu pintu dan tingkap kebanyakan rumah penduduk kampung di sepanjang laluan itu kelihatan ditutup rapat seolah-olah tidak berpenghuni.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.