Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Seorang peguam memberitahu mahkamah, keputusan dibuat Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, menolak soalan mengenai 1MDB wajar didengar di depan hakim kerana parlimen terikat dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut N Surendran semua pihak tertakluk kepada perlembagaan negara, termasuk institusi parlimen.

"Ramai orang tak faham dan ini tanggapan pihak yang mengendalikan parlimen bahawa mereka boleh membuat ketetepan dan tidak boleh dipersoal. Ini tak betul," katanya kepada media di lobi Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Surendran sebelum itu membentangkan hujahnya di dalam kamar mahkamah sebagai mewakili Anggota Parlimen Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Hakim ketika itu mendengar permohonan Pandikar yang meminta saman dikemukakan Hee ditolak.

Hee yang menjadi wakil rakyat PKR menyaman Pandikar selepas speaker terbabit menolak soalan-soalan berkaitan syarikat pelaburan milik kerajaan, 1MDB, dibangkitkan dalam sidang dewan.

Menurut Surendran, Pandikar melanggar Fasal 63 (2) Perlembagaan Persekutuan berkaitan keistimewaan parlimen yang menjamin kebebasan bersuara anggota-anggotanya.

Memetik Fasal 63 (1), peguam kanan persekutuan, Shamsul Bolhassan berkata perjalanan parlimen tidak boleh dibicarakan dalam mahkamah.

"Setiap dewan dalam parlimen hendaklah mengawal selia prosedurnya sendiri dan dalam kes ini, prosidur berkaitan soalan-soalan dikawal selia oleh Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat," katanya.

Perbicaraan itu didengar Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk Kamaludin Md Said.

Hee memfailkan permohonan mencabar keputusan Pandikar itu pada 2 Ogos lalu selepas Dewan Rakyat menolak lebih 30 soalan berkaitan 1MDB.

Ekoran itu Pandikar dan Setiausaha Dewan Rakyat Roosme Hamzah memfailkan permohonan untuk mengetepikan saman terbbait.

Kamaludin menetapkan permohonan Pandikar itu didengar hari ini.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS