Paling Popular
Terkini

Parti Amanah Negara (AMANAH) bahagian Titiwangsa kecewa dengan keputusan Konvensyen Pakatan Harapan yang tidak memperuntukkan sebarang kerusi untuk parti itu bertanding di Kuala Lumpur pada pilihan raya umum akan datang.

Lebih mengecewakan, kata sumber yang enggan namanya disiarkan, AMANAH Titiwangsa telah melakukan pelbagai gerak kerja di kawasan berkenaan sejak dua tahun lalu.

Justeru, beliau berharap agar pihak AMANAH pusat dapat mengadakan perbincangan dan mendesak pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) agar memberi sekurang-kurangnya satu kerusi kepada AMANAH di Kuala Lumpur, khususnya di parlimen Titiwangsa.

Ini kerana, menurutnya, pembahagian kerusi HARAPAN dibuat berdasarkan kedudukan kerusi pada pilihan raya umum ke-13 yang mana sebelum ini PAS bertanding di kerusi Putrajaya dan Titiwangsa.

"Kita lebih kepada rasa kecewa apabila tiada langsung kerusi AMANAH di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur) kerana gerak kerja telah dilakukan sejak AMANAH Titiwangsa ini ditubuhkan lagi.

"Ideanya seperti pilihan raya umum ke-13, bertanding di Putrajaya dan Titiwangsa.

"Tetapi di Putrajaya kita dah bagi pada (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) BERSATU atas semangat setia kawan.

"Jadi sekurang-kurangnya kita (AMANAH) dapat satu kerusi pun cukup iaitu di Titiwangsa," kata sumber yang adalah pimpinan AMANAH Titiwangsa kepada Malaysiakini.

Hari duka AMANAH

Sebelum ini PAS bertanding di Titiwangsa dan Putrajaya. Bagaimanapun parti itu kalah di kedua-dua kerusi berkenaan kepada BN dengan majoriti 866 undi (Titiwangsa) dan 5,541 undi (Putrajaya).

Selain itu, katanya, walaupun menghormati keputusan pimpinan HARAPAN nasional berhubung pembahagian kerusi, namun beliau berharap agar pintu rundingan masih dibuka dan laluan diberikan kepada AMANAH demi keadilan dan semangat setia kawan.

"Kita sedia dan terima dengan sebarang kebarangkalian.

"Cuma kita minta agar keadilan dapat dilakukan dan jaga semangat setia kawan dalam HARAPAN Wilayah Persekutuan," katanya.

Sementara itu, dalam kenyataan hari ini, Pemuda AMANAH Kuala Lumpur pula menyifatkan semalam sebagai “hari duka” mereka.

Ini susulan kegagalan parti itu mendapat sebarang daripada 12 kerusi parlimen di Kuala Lumpur yang diumumkan semalam.

“Pilihan raya dan penyertaan di dalamnya merupakan tujuan sebuah parti politik ditubuhkan.

“Ia merupakan raison d'etre kepada kewujudannya.

“Kerana itu, keputusan agihan kerusi ini akan memberikan satu impak besar kepada survival AMANAH di Wilayah Persekutuan,” kata Ketua Pemuda AMANAH Kuala Lumpur Nik Abdul Razak Nik Md Ridzuan dalam kenyataannya.

Lihat Komen
ADS