Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teruskan perbincangan pembahagian kerusi - Salahuddin
Diterbitkan:  Jan 9, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: Jan 10, 2018 7:38 AM

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Salahuddin Ayub menggesa perbincangan dalam soal pembahagian kerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) diteruskan, terutama dalam soal mengatur semula kawasan Parlimen yang diberikan kepada parti komponennya.

Beliau berkata, ia perlu dibincangkan berdasarkan aspek faktor kemenangan, kekuatan parti, sokongan pengundi dan kekuatan jentera di sesuatu kawasan.

"Jalan penyelesaian kepada situasi sekarang adalah melalui HARAPAN iaitu kita atur balik kerusi yang kita rasa boleh berbincang tentang faktor kemenangan dan masih ada kerusi-kerusi negeri masih dalam proses rundingan.

"Semua ini kita adunkan dan kita bincang dalam menentukan kerusi. Masih ada jalan keluar dan dapat kita selesaikan," katanya seperti dipetik Sinar Harian, hari ini.

Pembahagian jumlah dan kawasan Parlimen yang akan ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR, DAP dan AMANAH diselesaikan dalam mesyuarat HARAPAN Sabtu lalu, dan diumumkan di konvensyen keesokannya.

Namun, timbul rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin AMANAH Johor dan Perak. Di Johor misalnya, AMANAH diperuntukkan dua kerusi Parlimen - Parit Sulong dan Pulai - daripada lima yang dituntut mereka.

Ia menyebabkan AMANAH Johor bertindak memboikot konvensyen Ahad lalu.

AMANAH Wilayah Persekutuan pula tidak diperuntukkan sebarang kerusi Parlimen di Kuala Lumpur.

Susulan itu, AMANAH Wilayah Persekutuan menyifatkan konvensyen sebagai hari duka mereka, manakala pengerusinya Dr Hatta Ramli didakwa mahu meletakkan jawatan walaupun dinafikannya.

Salahuddin yang berasal daripada Johor berkata, pimpinan parti akan terus berusaha mengadakan perbincangan bersama parti lain dalam HARAPAN.

"Pimpinan peringkat nasional akan ambil daya usaha supaya perkara itu dapat dibincangkan secara harmoni atas semangat dalam HARAPAN,” katanya seperti dipetik.

Ketika ditemui di konvensyen Ahad lalu, Salahuddin berkata pimpinan parti akan berunding untuk mendapat lebih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor, susulan boikot AMANAH negeri itu.

Konvensyen Ahad lalu mengumumkan BERSATU akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, manakala PKR bertanding di 51 kerusi dan AMANAH 27 kerusi.

Lihat Komen
ADS