Ketua Pemuda MIC Cawangan Kampung Pasir, Rasah di Seremban, R.Balasubramaniam, mati ditembak seorang lelaki di luar rumahnya di Kampung Pasir tengah malam tadi.

Timbalan Jabatan Siasatan Jenayah Negeri DSP Zazali Hashim hari ini berkata kejadian itu berlaku pada 9.15 malam ketika Balasubramaniam, 41, sedang berjalan bersama dua rakannya ke balai raya kampung itu apabila seorang lelaki melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat dari arah belakang.

"Lelaki yang memakai topi keledar penuh itu kemudian melarikan diri dengan sebuah motosikal ke arah Rasah," katanya.

Balasubramaniam kemudian dikejarkan ke Hospital Seremban tetapi meninggal dunia pada tengah malam.

Zazali berkata polis menemui empat kelongsong peluru pistol .9mm di tempat kejadian.

Motif kejadian

"Setakat ini kita belum pasti motif kejadian," katanya.

Menurut Bernama, polis mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Zazali berkata Balasubramaniam, pemegang tali pinggang hitam taekwando, bekerja sebagai pembakar mayat.

"Dia ke balai raya itu untuk menemui pelatih seni mempertahankan diri taekwando," katanya.

Beliau berkata jarak antara rumah Balasubramaniam dan balai raya itu ialah 150 meter manakala kejadian itu berlaku hanya 100 meter dari rumahnya.