Mahfodz: Kita tak berkhalwat, itu cuma tohmahan, fitnah
Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed membidas Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan berkata bahawa anggota Parlimen Pagoh itu lebih teruk dari parti itu kerana pernah 'tidur sebilik' dengan Umno.
Mahfodz berkata demikian ketika mengulas kenyataan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu yang menuduh PAS sedang berkhalwat bersama Umno.
"Kalau PAS berkhalwat, dia tu dah tidur sebilik dah (dengan Umno). Muhyiddin dulu Umno, jadi dia lebih teruk (dari PAS).
"Kita tak berkhalwat. Itu cuma tohmahan, fitnah," katanya yang dipetik dalam satu rakaman video Kinitv selepas Multaqa Dakwah dan Pemikiran Islam di Putrajaya semalam.
Ahad lalu, Muhyiddin yang juga timbalan presiden Pakatan Harapan mendakwa PAS dan Umno sedang berkhalwat susulan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua parti itu.

“PAS yang sebelum ini menunjukkan minat untuk bersama kita sudah pun terpisah, tidak bersama kita dan nampaknya mereka pun sedang berkhalwat dengan Umno,” kata Muhyiddin ketika berucap dalam Konvensyen HARAPAN 2018 di Shah Alam.
Mengulas lanjut, Mahfodz turut menggelarkan Muhyiddin sebagai presiden parti yang tidak mempunyai kuasa.
Ini kerana, menurut beliau, segala keputusan dibuat oleh pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Dia presiden yang tak ada kuasa. Yang ada kuasa pengerusi (Dr Mahathir). Dia mengkafirkan tuan guru (Datuk Seri Abdul Hadi Awang).
"Hari ini dia serang PAS, dulu dialah yang beriya-iya nak PAS bersama," katanya.

