Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Adik Najib, kenalan buat bayaran sendiri ke Arab Saudi’
Diterbitkan:  Jan 10, 2018 3:01 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Nama-nama mereka yang dikatakan dalam rombongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Arab Saudi untuk lawatan kerja lima hari mula tersebar di media sosial.

Antara mereka, termasuk adiknya, Nizam dan Nazim serta ibu mereka Tun Rahah Mohammad Noah.

Terdapat juga individu yang disenaraikan sebagai "tetamu perdana menteri" dalam senarai berkenaan. Mereka adalah Bustari Yusof, Johrah Abdul Rahman, Amirul Rahman Abdul Rahim dan Nazir Hussin Akthar Hussin.

Dalam satu kenyataan media petang ini, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan bahawa adik-adik dan kenalan Najib membayar lawatan itu sendiri.

“Hanya Tun Rahah yang turut bersama Datuk Seri Najib dalam perjalanan kapal terbang ke Arab Saudi," kata kenyataan itu.

Menurut Pejabat Perdana Menteri, adalah menjadi hasrat Najib untuk menunaikan ibadah umrah semasa lawatan kerja itu dan beliau telah mengajak ahli keluarganya dan beberapa kenalan dalam lawatan ini bagi bersama mengerjakan ibadah umrah.


“Nama-nama mereka ini telah dimasukkan dalam senarai rasmi rombongan YAB Perdana Menteri bagi memudahkan urusan pentadbiran dengan pihak Arab Saudi bagi program ibadah umrah.

“YAB Perdana Menteri dan ahli rombongan juga telah diberi taraf tetamu negara oleh kerajaan Arab Saudi,” kata kenyataan itu.

Mereka yang disenaraikan dalam delegasi itu adalah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, anak mereka Nor Ashman dan Riza Aziz serta anak perempuan mereka Nooryana Najwa, menantunya, Danniyar Kessikbayev dan cucu, Adam Razak Daniyar.

Riza, adalah anak tiri Najib, yang dikaitkan dengan saman sivil pelucutan hak oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berhubung dengan 1MDB.

Kenyataan PMO itu tidak menyebut tentang anak-anak perdana menteri itu.

Walau bagaimanapun, ia menyebut bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khri Bahrom juga adalah sebahagian daripada delegasi tetapi namanya bukan antara daripada 20 nama yang dikatakan sedang disebarkan itu.

Mereka yang disenaraikan termasuk, Pegawai Khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod; Penasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Khairil Annas Jusoh, Pengarah Bahagian Hubungan Antarabangsa, Datuk Ahmad Faisal Muhammad; doktor peribadi kepada Perdana Menteri, Dr Azhari Rosman;  Aide-de-camp (ADC) kepada Perdana Menteri, ACP Mohd Yusri Hassan Basri dan   Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Ahmad Fitri Ali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS