Rondaan di sempadan Thailand dipertingkatkan berikutan pergolakan dan keganasan terbaru di bahagian selatan negara itu.

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor berkata rondaan itu bagi tujuan mengelak penyusupan masuk pelarian, khususnya kumpulan militan.

"Kita dah mula mengatur gerak anggota Tentera Darat untuk lebih berjaga-jaga di sempadan untuk tidak menggalakkan kemasukan pelarian. Rondaan dipertingkatkan," katanya kepada pemberita selepas menutup seminar Islam Hadhari: Nadwah Ilmiah Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Putrajaya hari ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pasukan keselamatan di sempadan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi mengelak kemungkinan anggota militan dari Thailand menceroboh dan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan untuk menyerang balas.

Peringatan itu berikutan pergolakan terbaru di wilayah berkenaan selepas sekurang-kurangnya tiga penduduk mati ditembak penyerang tidak dikenali manakala dua anggota Tentera Laut Diraja Thailand, mati ditikam.

Mohd Anwar berkata ketika ini, tiga batalion anggota tentera yang ditempatkan di sempadan adalah mencukupi untuk melaksanakan tanggungjawab meronda.

Bagaimanapun, katanya pihaknya bersedia untuk menambah anggota sekiranya keadaan memerlukan.

Selesai secara muafakat

Menurut laporan Bernama, beliau menjelaskan ATM dan tentera Thailand bekerjasama rapat di sempadan bagi menangani isu yang timbul berikutan pergolakan itu.

Mengenai isu 131 penduduk Islam Thailand yang lari ke negara ini, Mohd Anwar berkata beliau sudah berjumpa dengan pucuk pimpinan tentera Thailand bagi membincangkan perkara itu.

"Kita akan menggunakan pendekatan terbaik secara muafakat untuk menyelesaikan isu ini. Apa yang lebih penting sekarang ialah mengutamakan kebajikan pelarian dan memberi masa kepada mereka sehingga keadaan reda," katanya.

Beliau berkata tentera Thailand juga sudah mula menggunakan pendekatan berlembut dengan mengundurkan sebahagian daripada tenteranya dalam usaha menamatkan pergolakan di wilayah itu.

"Thailand juga sudah melatih petugas khas yang tidak menggunakan kekuatan tentera tetapi melaksanakan kempen bagi memenangi hati dan fikiran rakyat untuk memulihkan keyakinan mereka," katanya.