Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jika Anwar banduan, kenapa PM jumpa dengannya?'
Diterbitkan:  Jan 11, 2018 5:01 PM
Dikemaskini: 9:37 AM

Mengapa perdana menteri melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya ketua pembangkang itu hanyalah seorang banduan, soal peguam, N Surendran.

 

N Surendran merujuk kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menggambarkan Anwar sebagai banduan susulan tindakan pihak penjara melarang Tun Dr Mahathir Mohamad menemui anak guamnya itu.

"Sekiranya beliau hanya seorang banduan, mengapa perdana menteri Malaysia melawatnya," soal Surendran.

November lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melawat Anwar selepas ketua umum PKR itu menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur.

Menyifatkan kenyataan Nur Jazlan sebagai "memalukan dan terdesak oleh seorang menteri junior", Surendran juga mendakwa ia mendedahkan ketakutan Umno terhadap Anwar.

"Itulah yang Umno rasakan perlu menggelarnya sebagai banduan yang hanya mendedahkan ketakutan Umno terhadap Anwar sebagai lawan politik," katanya.

Tambahan pula, Surendran mendakwa tiada seorang di Malaysia menganggap Anwar sebagai "banduan" melainkan menganggap beliau sebagai seorang "tahanan hati nurani".

"Sabitan dan pemenjaraannya telah menerima kutukan yang meluas di dalam negara kita dan di seluruh dunia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa, organisasi dan individu terkenal di seluruh dunia menganggap pemenjaraan beliau adalah salah dan menggesa pembebasannya tanpa syarat.

"Bahkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melalui Kumpulan Kerja Penahanan Arbitrari menyebut pemenjaraan Anwar dilakukan sewenang-wenang dan mendesak pembebasannya segera," tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa Anwar terus menjadi faktor penting yang mempengaruhi perbincangan terhadap Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Selain menafikan lawatan Mahathir terhadap Anwar, menggelarnya sebagai banduan adalah lebih buruk lagi," katanya.

Mengulas mengenai keputusan pihak penjara tidak membenarkan lawatan Mahathir semalam, Nur Jazlan dilapor berkata bahawa Anwar, sebagai "banduan", masih tertakluk kepada peraturan penjara.

Anwar menjalani pemulihan selepas melakukan pembedahan di Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur.

Bekas pemimpin pembangkang itu menjalani hukuman penjara selama lima tahun kerana kesalahan liwat yang didakwanya direka oleh musuh politiknya.

Lihat Komen
ADS