'Untung' wartawan zaman Najib - bekas editor NST
Bekas Pengarang New Straits Times Press (NST) Mustapha Kamil Mohd Janor hari ini menyatakan kehairanannya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwanya amat jarang mengadakan sidang media terbuka akhir-akhir ini.
Beliau mendakwa, keadaan adalah berbeza ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi menjadi perdana menteri apabila mereka menurutnya kerap mengadakan sidang akhbar.
Sesi sidang media itu pula, katanya, diadakan lebih bebas dan semua wartawan yang hadir boleh mengemukakan soalan.
"Semua boleh hadir dan tanya soalan... Saya tidak tahu kenapa Najib tidak lagi beri sidang akhbar terbuka.
"Bila kali terakhir sidang media Najib dibuka kepada semua media, termasuk agensi berita luar negara?
"Jika ada pun, untuk editor media prokerajaan sahaja," katanya di Facebook, hari ini.
Najib dikatakan jarang mengadakan sidang media pada acara yang dihadirinya, berbeza dengan menteri dan ahli politik yang lain.
Malah perdana menteri juga dilihat sering dikawal ketat sepanjang masa ketika hadir di mana-mana acara, menyukarkan wartawan untuk 'menembusi' benteng berkenaan dan bertanya soalan berkaitan isu negara atau dakwaan yang melibatkan dirinya.
Zaman dua Tun
Malah pada pertengahan Mac 2016 dua wartawan media berpangkalan di Australia ditahan kerana cuba mengemukakan soalan kepada Najib di Kuching, Sarawak.
Wartawan Linton Besser dan jurukamera Louie Eroglu awalnya dijadual didakwa di mahkamah namun mereka kemudian cuma dihantar pulang.
Bagaimanapun, kata Mustapha Kamil lagi, cara Najib mengendalikan sidang media itu membawa "kebaikan" buat wartawan hari ini khususnya yang memang ditugaskan untuk membuat liputan tentang perdana menteri terbabit.

"Tunggu sahaja kenyataan bertulis, atau lebih mudah kini, duduk dalam bilik berita dan baca Twitter (Najib).
"Semasa Najib di Arab Saudi pun beliau kemas kini Twitter beserta gambar. Petik sajalah dari Twitternya," kata Mustapha Kamil lagi.
Katanya, wartawan di zaman Mahathir dan abdullah lebih mencabar kerana kekerapan sidang akhbar bermakna mereka perlu sentiasa mengikuti isu semasa.
"Susah sedikit ketika itu. Wartawan kena sentiasa up to date kerana jika mereka tiada apa-apa berita untuk dicari pun, wartawan lain mungkin ada. Jadi perlu sentiasa bersedia," katanya lagi.
Najib dan anggota rombongannya sedang mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi. Sepanjang tempoh itu beliau beberapa kali mengemas kini keberadaannya di negara itu melalui Twitter.
Antara lain beliau bercerita tentang pengalaman memasuki makam Rasulullah SAW di Madinah, serta memasuki Kaabah di Masjid al-Haram.

