Dua orang akauntan Malaysia yang ditahan polis di Sulawesi sejak 17 Ogos lalu, dibenar diikat jamin oleh pihak berkuasa Indonesia, dan tidak akan berada dalam tahanan polis lagi walaupun belum dapat pulang ke tanahair.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mahamad Zain berkata pihak kedutaan sedang membantu menyiapkan semua dokumen yang perlu bagi membolehkan Choo Yao Chin, 24, dan Raimala Sivalingam, 29, diikat jamin seberapa segera sama ada hari ini atau esok.

"Dengan persetujuan ikat jamin itu, mereka yang ditahan polis itu, tidak akan berada dalam lokap tahanan lagi, sebaliknya bolehlah tinggal di mana-mana hotel di Makassar," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata, pegawai kedutaan sedang menyiapkan semua urusan dan dokumen untuk membolehkan mereka diikat jamin hari ini juga khabar gembira buat keluarga Choo dan Raimala di Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, mereka belum boleh pulang ke tanahair kerana polis Indonesia masih meneruskan siasatan terhadap kes penahanan mereka, semasa dihantar majikan, KPMG Malaysia, untuk menjalankan satu kajian di syarikat perlombongan PT International Nickel Indonesia di Sorowako di kepulauan itu.

Mereka dikatakan ditahan kerana salah faham mengenai syarat visa kemasukan ke Indonesia.

Urusan ikatjamin

Choo ditahan di lokap pusat polis Makassar, ibu kota wilayah Sulawesi Selatan manakala Raimala pula ditahan di sebuah hospital kerana di situ tiada pusat tahanan untuk wanita.

Kedutaan Besar Malaysia telah menghantar seorang pegawai lagi ke sana hari ini untuk melihat keadaan kedua-dua rakyat Malaysia itu dan mengusahakan ikatjamin dengan menyiapkan semua dokumen yang perlu, termasuk surat jaminan dari majikan mereka, untuk dikemukakan kepada polis di Makassar.

Bilik hotel untuk penginapan kedua-duanya di Makassar juga sudah ditempah dengan menjangka mereka dibebaskan dari tahanan petang ini atau paling lewat esok.

Jaminan tanpa syarat lain itu membolehkan kedua-duanya bebas bergerak tetapi tidak boleh meninggalkan ibu kota itu sehingga polis selesai menjalankan penyiasatan dan kes mereka diputuskan oleh mahkamah di sana, dalam tempoh 10 hari akan datang.

Choo dan Raimala dilaporkan sihat dan gembira hari ini ketika ditemani pegawai kedutaan Malaysia itu di ibu pejabat polis wilayah Makassar.