Didakwa bakal mencari 'suaka' di kawasan selamat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang salah seorang panglima utama PAS menegaskan, hanya orang yang tidak memahami politik dan budaya organisasi mempercayai berita demikian.

Membayangkan bahawa beliau tidak gentar sama sekali Nasrudin Hassan berkata walau apa pun yang dituduh, kerusi Temerloh akan ditandingi PAS apabila PRU ke-14 diadakan.

Kata anggota parlimen Temerloh itu beliau adalah pekerja parti yang sentiasa patuh kepada kehendak organisasi.

Justeru sama ada dia akan dikekalkan bertanding mempertahankan kerusi Temerloh atau tidak, kata Nasrudin, bergantung kepada ketetapan PAS.

“Saya adalah pekerja parti. Parti yang memperjuangkan Islam iaitu PAS. Di mana saya akan bertanding, itu bukan pilihan dan keputusan saya.

“Justeru saya buat kesekian kalinya akan terus mematuhi ketetapan parti. Jika parti putuskan saya kekal bertanding di Temerloh, maka di situlah saya.

"Malah jika parti putuskan saya tidak bertanding pilihan raya umum kali ini, maka tidak bertandinglah saya.

"Saya hanya dengar dan taat arahan parti tanpa sedikit pun rasa ralat,” kata ketua penerangan PAS itu dipetik harakahdaily.

Metabolisme makin tinggi

Pada 9 Jan lalu Malaysiakini menyiarkan laporan, wujud cakap-cakap yang mendakwa Nasrudin akan meninggalkan Temerloh bagi mencari ‘suaka’ di kerusi selamat, dipercayai di Terengganu atau Kelantan.

Beberapa sumber yang arif dengan keadaan di Temerloh memberitahu Malaysiakini, desas-desus isu itu semakin meningkat memandangkan beliau didakwa jarang kelihatan di Temerloh.

Temerloh pada umumnya adalah kawasan majoriti pengundi Melayu yang sebelum ini banyak memihak kepada BN. Pada PRU ke-11 Idris Omar menjadi pilihan PAS untuk menghadapi calon BN, Datuk Mohd Sarit Yusoh di kerusi berkenaan.

Mohd Sarit mengatasi Idris dengan kelebihan 12,607 undi.

Empat tahun kemudian pembangkang meletakkan calon PKR, Ahmad Nizam Hamid, untuk cuba merebut kerusi berkenaan daripada BN yang diwakili Datuk Saifuddin Abdullah.

Ia masih gagal namun majoriti undi yang diterima BN jatuh ketara menjadi 2,441 undi saja.

Pada PRU lalu pembangkang meletakkan Nasrudin untuk mencabar Saifuddin. Langkah itu berjaya apabila PAS merampas kerusi Temerloh dengan majoriti 1,070 undi.

Namun untuk rekod pada dua PRU terakhir itu PAS dan PKR menjalin kerjasama politik bagi berdepan dengan BN. Saifuddin pula kini menyertai PKR dan dilantik sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN).

PAS pula tidak lagi menjalin hubungan politik dengan HARAPAN.

Kata Nasrudin serangan gerak saraf yang dihalakan kepadanya ketika ini tidak berkualiti, malah menjadikan dia semakin bersemangat untuk berjuang.

“Insya-Allah, 10 kali ganda lagi mereka lancarkan serangan, ia tidak akan menjejaskan semangat juang saya bersama PAS ini, malah membuatkan metabolisme perjuangan saya makin meningkat,” ujarnya.