Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata isu pilihan raya awal di negeri itu "tidak relevan" pada masa ini berikutan hanya beberapa bulan lagi sebelum Parlimen dibubarkan secara automatik.

"Saya berpandangan bahawa isu ini tak lagi relevan sebab tempoh penggal akan berkahir dalam beberapa bulan.

"Dan sudah tentu cadangan ini tak munasabah kerana ia akan timbulkan keresahan kalangan rakyat mengapa diadakan ketika tempoh penggal hampir berakhir," kata Azmin kepada pemberita selepas sesi bertemu rakyat di Masjid Zakaria di Gombak hari ini.

Azmin berkata demikian ketika mengulas cadangan penganalisis politik Wong Chin Huat agar kerajaan Selangor membubarkan dewan undangan negeri menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Dalam membuat cadangan tersebut, Wong berkata langkah sedemikian berpotensi untuk menangkis kesan persempadanan semula pilihan raya yang mana dikatakan pengkritik akan memihak kepada Barisan Nasional.

Sementara itu, Azmin berkata gesaan untuk mengadakan pilihan raya awal akan melibat kos tinggi yang akan ditanggung rakyat.

"Sekiranya candangan ni dibuat setahun lalu mungkin boleh dibincangkan.

"Tapi dalam keadaan situasi penggal ni akan berakhir jadi saya tak nanpak kewajaran nak buat pilihan raya awal. Kita hanya tumpu soal tingkatkan perkhidmatan kepada rakyat, selesaikan masalah rakyat," kata Azmin yang juga Pengerusi HARAPAN Selangor.

Pengerusi AMANAH Selangor Izham Hashim semalam memberitahu Malaysiakini bahawa beliau akan membangkitkan isu untuk mengadakan pilihan raya awal dalam mesyuarat HARAPAN yang akan datang.

Walaupun beliau bersetuju bahawa pilihan raya itu boleh memberi kelebihan kepada HARAPAN, Izham juga tidak menolak kemungkinan kekalahan disebabkan BN menumpukan keseluruhan jentera pilihan raya di Selangor.

Selangor membawa isu persempadanan semula di mahkamah dengan alasan ia terjejas oleh peralihan sempadan pilihan raya yang didakwa HARAPAN menyebabkan malapportionment (pembahagian pengundi tidak sama rata) dan gerimander (mengubah sempadan).

Lihat Komen
ADS