Pelajar fail permohonan batalkan pilihanraya kampus UIAM
Seorang pelajar tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan pilihanraya majlis perwakilan pelajar universiti itu 29 September ini.
Seorang pelajar tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi membatalkan pilihanraya majlis perwakilan pelajar universiti itu 29 September ini.
Pelajar jurusan sains kemanusiaan, Mozahiri Shamsudin, 22, dari Ipoh, Perak, mengemukakan permohonan semakan kehakiman itu melalui Tetuan Mohamed Hanipa & Associates di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) petang tadi, dengan menamakan UIAM sebagai responden.
Dalam permohonan itu, Mozahiri berkata, sebagai pelajar yang mempunyai hak mengundi dalam pilihan raya itu, memohon perintah certiorari bagi membatalkan pilihanraya sesi 2005/2006 itu yang ditetapkan pada 29 September ini oleh UIAM melalui Suruhanjaya Pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (SPMPP).
Mozahiri turut memohon perintah yang sama bagi membatalkan Notis Pemberitahuan bertarikh 8 September 2005 yang dikeluarkan oleh UIAM melalui SPMPP bagi mengumumkan mengenai pilihanraya itu.
Kelayakan calon
Menurut laporan Bernama, dia juga memohon perintah mandamus bagi mengarahkan satu Notis Pemberitahuan yang baru dibuat dan selanjutnya menetapkan tarikh baru bagi pilihanraya itu.
Dia turut memohon perintah deklarasi bahawa notis tersebut adalah tidak sah, terbatal dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang, serta perintah bahawa SPMPP adalah suatu badan yang tidak sah mengikut undang-undang untuk mengendalikan pilihanraya berkenaan.
Antara alasan permohonan itu ialah bahawa syarat baru dalam Jadual Keempat Perlembagaan SPMPP yang menyebut bahawa pelajar yang mendapat CGPA (agregat terkumpul) kurang daripada 2.8 semasa penamaan layak dinamakan sebagai calon adalah syarat yang tidak sah dan terbatal serta bercanggah dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Alasan lain yang dinyatakan dalam permohonan itu ialah bahawa SPMPP yang ditubuhkan untuk mengendalikan pilihanraya bagi tempoh 2005/2006 itu adalah sebuah badan tidak sah kerana kewujudannya tidak dinyatakan oleh mana-mana undang-undang.
Mozahiri mendakwa badan yang bertanggungjawab berhubung soal pilihanraya berkenaan ialah Lembaga Hal Ehwal Pelajar yang diwujudkan di bawah Memorandum dan Artikel Persatuan UIAM.

