Berita Malaysiakini

Guan Eng harus henti raih simpati. kata Rahman Dahlan

Bernama  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng patut menyalahkan diri sendiri jika tarikh perbicaraan di mahkamah bagi kes rasuah yang dihadapinya dijadualkan seperti sekarang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Abdul Rahman, yang juga pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional berkata tatrikh perbicaraan itu hanya dijadualkan sekarang selepas lama ditangguhkan kerana percubaan Lim un tuk mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai melanggar perlembagaan.

"(Lim) Guan Eng sepatutnya mempunyai keyakinan terhadap mahkamah di negara ini kerana beliau dibenarkan untuk membela diri secara terbuka dan telus,” kata beliau dalam satu kenyataan semalam.

"Sama ada (Lim) Guan Eng akan menang atau DAP dapat mengekalkan kerajaan negeri Pulau Pinang atau tidak, sudah tentu adalah perkara yang sama sekali berbeza,” katanya.

Lim dilaporkan berkata semalam bahaswa perbicaraan kes rasuah, yang bermula pada 26 Mac, mungkin memberi impak kepada pencalonannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Lim, yang juga setiausaha agung DAP, berkata beliau perlu menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk beberapa tempoh empat hingga lima hari berturut-turut antara Mac dan Mei. Mahkamah Tinggi telah menetapkan 23 hari bagi perbicaraan antaera 26 Mac dan 25 Mei

Pada 30 Jun, 2016, Lim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan keuntungan bagi dirinya dan isterinya, Betty Chew, dengan meluluskan permohonan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan perumahan awam kepada syarikat sebuah syarikat, Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri pada 18 Julai, 2014.

Lim juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan habuan bagi dirinya dengan membeli sebuah rumah dari Phang Li Koon dengan harga RM2.8 juta iaitu di bawah harga pasaran RM4.27 juta pada 28 Julai, 2015.

Phang, yang juga presiden Magnificent Emblem , mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Lim bagi mendapatkan untuk Lim rumah di Jalan Pinhorn dengan harga RM2.8 juta iaitu tidak sepadan dengan nilai pasaran bagi hartanah berkenaan iaitu RM4.27 juta.

- Bernama