Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan NHRAP akan dibentang ke kabinet - Azalina
Diterbitkan:  Jan 13, 2018 6:39 AM
Dikemaskini: Jan 13, 2018 12:21 AM

Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) akan menjadi panduan kepada kerajaan dalam pembangunan dasar-dasar kerajaan bagi memberi impak positif kepada masyarakat umum.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said dalam kenyataan semalam berkata pelan itu akan memastikan isu-isu hak asasi manusia ditangani dengan baik.

Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP) telah memuktamadkan laporan NHRAP semalam dan akan dibentang ke Kabinet dalam masa terdekat.

Pembangunan NHRAP merupakan komitmen kerajaan semasa proses Semakan Berkala Sejagat atau Universal Periodic Review (UPR) yang kedua di Geneva pada tahun 2013, katanya.

Azalina berkata pelan tindakan itu telah melalui sesi penglibatan ekstensif merangkumi semua pihak berkepentingan khususnya agensi peneraju yang akan melaksanakan NHRAP termasuk badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan sosial korporat (CSO) dan masyarakat umum.

"Pelaksanaan NHRAP ini juga merupakan bukti kukuh yang kerajaan hari ini sentiasa telus dan prihatin dengan isu-isu hak asasi manusia di Malaysia.

"Sebaik kerangka NHRAP ini dipersetujui Kabinet, majlis pelancaran akan diadakan dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” kata Azalina.

Mesyuarat yang berlangsung di bangunan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Putrajaya itu telah dipengerusikan oleh Azalina bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.

Ia turut dihadiri Ketua Pengarah BHEUU Datuk Jalil Marzuki, Penasihat Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri Datuk Almalena Sharmila Johan, wakil kementerian dan agensi, ahli akademik, NGO serta pihak berkepentingan yang lain.

- Bernama

Lihat Komen
ADS