Sekumpulan wartawan Malaysia yang hendak memasuki selatan Thailand hari ini, ditahan dan diperiksa rapi oleh pasukan tentera berikutan tragedi Tanjung Lima di sini Selasa lalu.

Wartawan The Star Ian Gerard McIntyre dan jurugambarnya Sazuki Embong serta Ketua Biro Bernama Kelantan, Nor Hammad Wariman ditahan dan beg mereka diperiksa rapi ketika hendak mengecop pasport di Kompleks Imigresen Takbai.

Mereka menjelaskan kepada pihak imigresen di Narathiwat mengenai tugasan mereka membuat liputan sempena majlis ulangtahun Tragedi Takbai pada 25 Oktober tahun lalu.

Seorang pegawai Imigresen Thailand yang dikenali sebagai Wirasak Dechpramaunpol menjelaskan bahawa mereka hanya menurut arahan dan tidak akan membenarkan wartawan asing masuk membawa kamera.

Wirasak kemudian kelihatan menghubungi pegawai atasannya mengenai kedatangan wartawan Malaysia sebelum menjelaskan melalui seorang penterjemah bahawa mereka sepatutnya mengemukakan surat jemputan dan kebenaran dari kerajaan Thailand bagi membuat liputan.

Menurut laporan Bernama, wartawan Utusan Malaysia Niezam Abdullah dan pemberita daerah Bernama Mohamed Nasir Rani bagaimanapun tidak diperiksa kerana mereka menggunakan pas sempadan.

Sazuki mengambil keputusan pulang ke Kota Baharu selepas beliau tidak dibenarkan membawa kameranya bersama.

Jaga imej kerajaan

Kumpulan wartawan itu akan membuat liputan berhubung lawatan Menteri Pelajaran Thailand ke Pejabat Majlis Agama Islam Narathiwat dalam kempen memelihara imej kerajaan ekoran tragedi Tanjung Lima yang mengorbankan empat orang dan mencederakan empat yang lain.

Dalam peristiwa Selasa lalu, enam penduduk ditembak mati oleh orang yang tidak dikenali, dua daripadanya meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi yang terbunuh ialah anggota marin Tentera Diraja Thailand yang menjadi tebusan penduduk kampung dalam tragedi yang dikatakan membabitkan pasukan keselamatan.

Enam wartawan dan jurugambar Malaysia dilaporkan telah diterbangkan dengan helikopter ke kampung berkenaan untuk membantu pihak berkuasa Thai berunding dengan penduduk kampung, tetapi terlewat tiba dan dua anggota tentera tebusan itu dibunuh sebelum sempat kumpulan wartawan itu masuk.

Sepanjang perjalanan yang mengambil masa 45 minit hari ini, kelihatan ramai anggota pasukan keselamatan meronda di sepanjang jalan lengkap dengan senjata api.

Pemeriksaan rapi turut dilakukan terhadap individu yang disyaki, terutama penduduk dari Kampung Tanjung Lima.