Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
4 individu direman bantu siasatan kes rasuah
Diterbitkan:  Jan 13, 2018 1:42 PM
Dikemaskini: 5:51 AM

Empat individu masing-masing tiga juruteknik dan seorang penjawat awam direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah sejak dua tahun lalu.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Mahkamah Sesyen/Majistret Seremban Emysuriana Ahmad di Mahkamah Khas Reman, pagi tadi sebaik permohonan dikemukakan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan Mohd Khairi Abdul Karim.

Tiga juruteknik pemasangan terbabit dan seorang pembantu makmal di sebuah sekolah di Johor berumur 23 hingga 32 tahun ditahan SPRM di beberapa lokasi di Johor kira-kira jam 8 malam semalam.

Mereka disyaki bersubahat dengan kakitangan Telekom Malaysia (TM) yang menerima rasuah berjumlah RM7,650 untuk membawa keluar drop fiber berjenama Lite Kabel milik TM dan dijual dalam pasaran antara 2016 hingga 2017.

Kesemua suspek yang memakai baju lokap SPRM tiba di mahkamah pada jam 10.51 pagi dengan diiringi pegawai SPRM.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rabu lepas, SPRM negeri turut menahan tiga suspek masing-masing pengarah syarikat, ahli perniagaan dan juruteknik berhubung kes sama membabitkan nilai rasuah RM4,250 kepada kakitangan TM.

Ketiga-tiga suspek lelaki berumur 30 hingga 47 terbabit direman enam hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan mengikut seksyen dan akta sama.

- Bernama

Lihat Komen
ADS