Choo Teck Keong, bapa kepada seorang daripada dua akauntan Malaysia yang ditahan di Sulawesi sejak 17 Ogos, bersyukur kerana anaknya Yao Chin dan rakan sekerjanya Raimala Sivalingam, kini bebas dengan ikat jamin di Makassar.

"Saya sangat lega kerana anak saya kini bebas setelah lebih sebulan ditahan di lokap polis di sini," katanya ketika dihubungi Bernama di hotel penginapannya di Makassar awal pagi ini.

Yao Chin ketika itu (kira-kira jam 1.15 pagi) sedang tidur nyenyak dan Teck Keong berkata, beliau tidak mahu mengganggu tidur anaknya itu "kerana dia sedang menikmati malam pertama pembebasannya".

Kedua-dua akauntan KPMG Malaysia itu dibebaskan kira-kira jam 7 malam tadi dengan ikat jamin. Bagaimanapun mereka belum dibenarkan pulang ke Malaysia.

Yao Chin, 24 dan Raimala, 29, ditahan polis Indonesia setelah ditangkap ketika menjalankan satu kajian terhadap sebuah syarikat perlombongan, PT International Nickel Indonesia di Sorowako.

Bicara minggu depan

Teck Keong bagi pihak keluarganya dan keluarga Sivalingam mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Mahamad Zain, pegawai kedutaan dan semua pihak yang mengusahakan ikatjamin anak mereka.

Katanya, beliau akan berada di Makassar menemani anaknya sehingga kesnya diputuskan mahkamah yang dijangka memulakan perbicaraan minggu depan.

Sementara itu sumber kedutaan berkata kedua-dua akauntan Malaysia itu dikehendaki melaporkan diri kepada polis di Makassar, ibukota wilayah Sulawesi Selatan, tiga hari seminggu Isnin, Khamis dan Sabtu sehinggalah kes mereka diputuskan mahkamah.

Menurutnya, selain bapa Yao Chin, abang Raimala juga turut berada di sana untuk menemani adiknya itu, yang sebelumnya ditahan di sebuah rumah sakit kerana ketiadaan lokap untuk menahan wanita di ibu pejabat polis wilayah Sulawesi Selatan.

Beliau turut menafikan laporan bahawa Yao Chin ditahan bersama-sama penjenayah berat di lokap, kerana beliau melihat sendiri keadaannya tidak begitu.