Datuk M. Kayveas yang menerajui Parti Progresif Penduduk (PPP) sejak 1993, hari ini mengekalkan jawatan presiden parti itu tanpa bertanding.

Kayveas yang juga Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, diisytiharkan memenangi jawatan itu setelah berakhirnya tempoh penamaan calon bagi mengisi jawatan tertinggi parti berkenaan pada 12.30 tengah hari ini di Ibu pejabat PPP di Kuala Lumpur.

Ketika mengumumkan keputusuan pencalonan bagi pemilihan parti itu pada 2 Oktober ini, setiausaha agung PPP Datuk Mohan Kandasamy berkata, hanya satu kertas pencalonan dikemukakan bagi merebut jawatan presiden.

"Dengan ini, saya mengisytiharkan Datuk M. Kayveas sebagai presiden PPP. Kami hanya terima satu pencalonan bagi jawatan presiden," katanya dan disambut tepukan bergemuruh anggota parti.

Kayveas yang menyertai PPP pada 1980 kemudian dijulang oleh para penyokongnya dan dihadiahkan beberapa kalungan bunga.

"Saya ucap terima kasih kepada para ahli dan pemimpin yang telah memberi peluang kepada saya untuk menerajui parti ini sekali lagi. Saya berikrar akan melakukan yang terbaik untuk parti," kata Kayveas pada sidang akhbar selepas itu.

Bekas peguam itu berkata matlamat utama beliau sekarang ialah meningkatkan ketelusan dalam parti itu serta mencari jalan untuk memantapkan jaringan di kalangan ahli parti yang berjumlah 380,000 orang.

Perebutan jawatan naib presiden

"Jika jaringan ini berada dalam keadaan baik, maka parti akan menjadi kuat. Saya juga mahu anggota kita menjadi mata dan telinga kerajaan tempatan," katanya.

Penamaan calon hari ini juga menyaksikan 11 orang menawarkan diri bertanding merebut tiga jawatan naib presiden.

PPP tidak mempunyai jawatan timbalan presiden. Seorang daripada tiga naib presiden yang dipilih akan dilantik sebagai naib presiden kanan bagi menjalankan tugas-tugas timbalan presiden.

Menurut laporan Bernama, di samping tiga naib presiden yang dipilih, tiga naib presiden lagi dilantik oleh presifen parti.

Mereka yang menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan naib presiden ialah Datuk P.C. Low, Datuk Maglin D'Cruz, Datuk S. Subrayan, Datuk V. Nadarajah, S. Thulakanan, Lee Heng (kesemuanya penyandang), Datuk Loga Balamohan, T.Raju, A Sabapathy, Chiw Tiang Chai dan Dr Naran Singh.

MT: Tiada pertandingan

Ditanya sama ada beliau akan mengeluarkan senarai calon yang menjadi pilihannya untuk menduduki kerusi naib presiden, Kayveas berkata beliau akan bekerjasama dengan sesiapa jua yang dipilih oleh 1,700 ahli perwakilan parti itu.

Sementara itu, pemilihan parti PPP akan datang tidak akan menyaksikan pertandingan bagi mengisi 25 kerusi majlis tertingginya apabila hanya 25 pencalonan diterima bagi mengisi jawatan itu pada penamaan calon hari ini.

David Wong dan David Chiang dari Taiping yang tidak dapat menyerahkan kertas pencalonan bagi merebut jawatan majlis tertinggi PPP setelah berakhirnya tempoh pencalonan kerana terlibat dalam kemalangan jalanraya, dilantik ke jawatan itu berkuatkuasa serta-merta. Taiping terletak dalam kawasan parlimen yang diwakili Kayveas.

Presiden PPP mempunyai kuasa melantik sembilan ahli majlis tertinggi di samping 25 ahli yang dipilih. Tujuh ahli lagi akan dipilih pada 2 Oktober ini.

"Saya mahu mereka yang bertanding bagi jawatan naib presiden bersaing secara adil. Berkenalanlah dengan ahli parti...perkenalkan diri anda dan sekiranya anda mempunyai sokongan, anda akan menang. Berilah sumbangan kepada parti dan rakyat," kata Kayveas.

Berikut senarai calon yang menawarkan diri untuk bertanding bagi pelbagai jawatan pada pemilihan PPP 2 Oktober ini.

Presiden

Datuk M.Kayveas (Menang tanpa bertanding)

Naib Presiden (3 jawatan)

1. Datuk Dr Loga Bala Mohan

2. Chiew Tiiang Chai

3. Datuk Low Pooi Chai *

4. Datuk Maglin D'Cruz *

5. T.Raju

6. A.Sabapathy

7. Datuk S.Subrayan *

8. Datuk N.Nadarajan *

9. S.Telukanam *

10. Dr Naran Singh

11. Lee Heng *

(* Penyandang)

Majlis Tertinggi (25 terpilih tanpa bertanding)

1. Sio Ming Chuan

2. N. Vijaya Chandran

3. Selvam a/l Ello

4. Dr Siva Kumar

5. Dr N.A Shanmuganathan

6. Rajandran Rasappan

7. D. Gnanasambanthan

8. Pang Hong Yim (Josephine)

9. A. Vicknesweri

10. Asecalin V.Fernandez (Stephen)

11. Ellangovan a/l Rengan

12. Raja Segaran a/l Angamuthu

13. Datuk Billy Chan Yew Fei

14. Eddy Chiew Cheng Bin

15. A.Chandrakumanan

16. Elayppen a/l Muthusamy

17. Inder Singh a/l Beant Singh

18. Datuk Dr Jason Goh

19. Sahul Hameed Shaik Mohaideen

20. Simon Sabapathy

21. Hoh Wee Shuan

22. Goh Tian Huat

23. S. Muthu Lingam

24. Gregory Chan Chee Phun

25. Samson David Maman

26. David Wong (dilanti)

27. David Chiang (dilantik)