Noh berang Agensi Antidadah Pulau Pinang tidak hadiri program
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar berang dengan sikap pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang yang tidak menghadiri Program Belia Benci Dadah yang diadakan di Taman Bukit Dumbar di negeri itu hari ini.
Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar berang dengan sikap pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pulau Pinang yang tidak menghadiri Program Belia Benci Dadah yang diadakan di Taman Bukit Dumbar di negeri itu hari ini.
Sambil menyatakan kecewa dan dukacita dengan sikap pegawai AADK negeri ini yang tidak memberi sokongan dalam kempen pencegahan dadah itu, Noh berkata beliau mahu penjelasan segera daripada AADK Pulau Pinang.
Paling mengecewakan beliau ialah bukan setakat tiada wakil, AADK juga tidak mengambil bahagian dalam pameran pencegahan dadah sempena program anjuran Pertubuhan Belia 4B kawasan Jelutong itu.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan, Noh berkata AADK sepatutnya berasa malu kerana sebagai agensi utama kerajaan memerangi dadah, badan itu perlu mendahului pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan yang lain untuk membantu masyarakat memerangi dadah.
Menurut Bernama, beliau berkata, walaupun AADK tidak menyertai pameran yang diadakan dalam program itu, sepatutnya anggota atau pegawainya hadir memberikan sokongan moral.
"Berapa ramai pegawai AADK di negeri ini? Kalau pengarahnya tiada, hantar 'peon' pun tak apa, sekurang-kurangnya saya dapat maklumat keadaan sebenar penagihan dadah di negeri ini," katanya.
Beri sokongan moral
Noh berkata, sepatutnya AADK menjalin kerjasama erat dengan NGO, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan orang ramai untuk mengadakan kempen serta aktiviti pencegahan dadah memandangkan Pulau Pinang adalah antara negeri yang mencatatkan jumlah penagih tegar dan baru yang tinggi.
"Saya ingatkan kepada AADK, kalau hendak perangi dadah, perangilah betul-betul. Tidak kira siapa yang memerlukan bantuan, mereka kena beri bantuan. Kalau pameran tak boleh buat, tak kan sampai pegawaipun tak boleh datang," katanya kesal.
Noh berkata, tiada gunanya kerajaan memperuntukkan kira-kira RM13 juta setahun kepada agensi itu untuk mengadakan kempen pencegahan jika mereka bersikap tidak mengambil berat dengan usaha yang dijalankan oleh NGO dan jabatan kerajaan yang lain.
"Jikalau tidak ada duit (untuk membantu NGO) tidak apa, tetapi kenalah hadir tanda memberi sokongan moral," katanya.
Sementara itu, Pengarah AADK Negeri Mat Hussin Ibrahim gagal dihubungi untuk penjelasan lanjut.

