Umpama teka-teki Nujum Pak Belalang

   

WAWANCARA | Satu: banyak-banyak, dua: sikit-sikit, tiga: jarang-jarang; empat: kadang-kadang. Ia adalah dialog filem terkenal P Ramlee bertajuk Nujum Pak Belalang.

Semua orang tahu jawapan bagi teka-teki itu. Ia adalah mengenai keadaan rumahtangga seorang lelaki.

Analogi rumahtangga jugalah yang digunakan Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, ketika ditanya mengenai status pengikut dan penyokongnya selepas dia meninggalkan PAS mulai 1 Jan lalu.

Tidak goyah dengan tuduhan musuhnya, Mahfuz yakin dia mempunyai pengikut yang ramai namun ia tidak semestinya terzahir di mata orang lain.

Kata bekas naib presiden PAS itu, soal keberanian manusia - termasuk anggota PAS - adalah berbeza-beza. Ibarat perkahwinan, katanya.

"Lelaki kalau kahwin dengan isteri pertama, semua berani. Tapi nak dapat yang kedua, ada yang berani dan ada yang takut. Sama juga dalam isu ini," kata Mahfuz dalam temu bual bersama Malaysiakini.

Bidalan dan PAS

Mahfuz adalah anggota veteran PAS yang mendaki hierarki dalam parti dari bawah sehinggalah akhirnya menjadi naib presiden parti.

Bagaimanapun ekoran peningkatan pengaruh kumpulan ulama dalam parti itu menyebabkan hampir semua tokoh sederhana dalam PAS diketepikan pada 2015.

Berbeza daripada pimpinan yang tersingkir, Mahfuz memilih kekal bersama PAS sehinggalah pada akhir tahun lalu apabila beliau mengambil tindakan 'mufaraqah' dengan keluar dari parti tersebut.

Ia disambut dengan pelbagai komen daripada pemimpin PAS termasuk digelarkan sebagai "sudah lama mati" oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang.


Baca: Mahfuz doakan Hadi sihat, diberikati dunia akhirat


Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula mengibaratkan Mahfuz seperti mangga harumanis yang gugur sendiri selepas busuk.

Mengulas soal penyokongnya, Mahfuz juga yakin penghijrahan anggota PAS ke parti dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak dapat dielakkan lagi.

"Pada umumnya anggota PAS ini - bukan saja di Pokok Sena atau Kedah tetapi di seluruh Malaysia - melihat keperluan untuk mereka memberi sokongan kepada HARAPAN dan sentimen itu sangat menggalakkan.

"Dulu pun misi pertama saya ialah untuk menyelamatkan PAS dengan memastikan parti itu terus bersama HARAPAN.

"Tetapi oleh kerana pimpinan PAS tidak bersedia, maka misi saya seterusnya ialah mengajak ahli PAS menyokong HARAPAN," katanya.

Bukan AMANAH saja

Sokongan itu katanya tidak semestinya dibuat dengan cara meninggalkan parti, sebaliknya mereka boleh kekal bersama PAS tetapi apabila tiba pilihan raya umum (PRU) nanti, undi diberikan kepada calon HARAPAN.

Katanya penyokong PAS yang memberikan undi kepada parti itu pada PRU lalu boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu anggota tegar, ahli PAS yang terbuka menerima pandangan luar, serta pengundi yang bukan ahli - atau pengundi atas pagar - tetapi memberikan kepercayaan kepada parti terbabit.

Keyakinan untuk mengalihkan sokongan pengundi PAS kepada HARAPAN juga dapat dilihat sendiri oleh Mahfuz sejak akhir-akhir ini.

Di beberapa tempat katanya beliau menyaksikan sendiri seorang demi seorang penyokong PAS yang selama ini istiqamah bersama parti itu mula menyertai HARAPAN.

Dan menariknya mereka bukan saja memilih Parti Amanah Negara (AMANAH) yang ditubuhkan oleh bekas pemimpin PAS, sebaliknya turut menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Anak, menantu masuk AMANAH

Antara tempat yang menampakkan perubahan itu ialah di Kedah serta Perak.

"Selesai Konvensyen HARAPAN pada Ahad lepas saya balik singgah Bukit Gantang, ada program yang lebih awal diatur untuk saya.

"Malam itu program anjuran HARAPAN dan dihoskan BERSATU. Ada antara 70 hingga 80 ahli PAS menyertai BERSATU dan diketuai oleh bekas ketua pemuda PAS cawangan.

"Ceramah itu sendiri dibuat di rumah bekas ketua pemuda PAS berkenaan," katanya.

Kata Mahfuz lagi, perkara yang sama berlaku di Jerlun, Kedah.

"Dua hari lepas saya bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun. Kawasan itu memang Umno tak pernah menang kerana ia kubu kuat PAS.

"Tapi pada malam itu ada 20 orang menyertai BERSATU," katanya.

Tambah Mahfuz lagi apa yang berlaku itu juga memperlihatkan gambaran sesetengah anggota PAS kini sangat terbuka.

Beliau juga menceritakan bagaimana seorang pemimpin veteran PAS di peringkat kawasan di Kedah membacakan sepotong hadis yang menggambarkan beratnya kesalahan meninggalkan jemaah Islam.

Namun katanya ada anggota keluarga tokoh bergelar tuan guru itu menyertai AMANAH.

"Pak mentua menterjemahkan hadis mengenai larangan meninggalkan jemaah tetapi akhirnya anak dan menantu dia masuk AMANAH," katanya.

Mahfuz juga mengakui ada sesetengah anggota PAS yang bimbang untuk meninggalkan parti berkenaan kerana perlu berdepan dengan serangan, kecaman atau dilabel dengan pelbagai gelaran.

Justeru anekdot kisah teka-teki dalam filem Nujum Pak Belalang itu mungkin boleh membantu memahami apa dimaksudkan Mahfuz.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.