Mahkamah Majistret Kulim semalam membebas dan melepaskan tanpa dipanggil membela diri 10 orang, termasuk pemimpin parti Keadilan, yang dituduh merusuh dan mengurung semasa pilihanraya kecil Lunas lima tahun lalu.

Keputusan itu dibacakan Pendaftar Mahkamah Sungai Petani V Kanasan kerana Majistret Zainol Rashid Husin yang mendengar kes itu telah bertukar ke Kangar.

Dalam penghakiman itu, Zainol Rashid berkata, kesemua tertuduh dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri setelah pihak pendakwaan gagal membuktikan "prima facie" terhadap mereka.

Sepuluh orang itu ialah Tian Chua atau Chua Tian Chang, Mohd Ezam Mohd Noor, Mohd Azmin Ali, Ruslan Kassim, N.Gobalakrishnan, Zamil Ibrahim, Mohamed Khairi Yahaya, Ahmad Khairuddin Jamaluddin, Mohamed Fauzi Awang Kechik dan Khairul Nizar Ismail.

Mereka dituduh merusuh dengan mengambil bahagian dalam perhimpunan haram di Taman Mewah, Kulim, antara 6.30 pagi dan 9 pagi, pada 29 November 2000, dengan tujuan melucutkan hak pemandu dan penumpang bas bernombor pendaftaran BDM 6689, WDB 5115, NAN 7686, WHM 9585 dan BFE 4811 yang membawa penyokong Barisan Nasional (BN) daripada pergi ke pusat BN Taman Seri Seledang, Lunas.

Menurut laporan Bernama , tuduhan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Tian Chua, Gobalakrishnan, Ruslan, Ahmad Khairuddin, Mohamed Khairi, Mohamed Fauzi, Mohd Ezam dan Mohd Azmin juga menghadapi tujuh lagi tuduhan mengurung tujuh pemandu bas -- Thai Cho Hoong, K.Baskaran, K.Saravanan, G.Pakianathan, N.Selvarajoo, Mohamed Umar Peer Mohamed dan S.Murugesan, pada masa dan tempat yang sama.

Tuduhan itu menurut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 12 bulan atau denda RM2,000 atau keduanya sekali jika disabitkan kesalahan.