Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketika Datuk Seri Azmin Ali didakwa mungkin mengosongkan kerusi parlimen Gombak pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti, tinjauan umum di sekitar kawasan itu mendedahkan PKR memang berpeluang mempertahankan kerusi berkenaan.

Namun untuk menjadikan ia kenyataan, PKR - dan Pakatan Harapan (HARAPAN) umumnya - perlu bergantung kepada undi bukan Melayu.

Semalam, Malaysiakini meninjau pandangan orang ramai di sekitar kawasan Gombak Setia, Batu Caves dan Hulu Kelang. Ia adalah tiga kerusi dewan undangan negeri yang terletak di bawah parlimen Gombak.

Malaysiakini mendapati ramai pengundi bukan Melayu akan mengundi calon yang bukan PAS, dipercayai kesan tindakan parti terbabit keluar dari pakatan pembangkang persekutuan.

Pada PRU ke-13, Azmin mempertahankan kerusi Gombak bagi penggal kedua, manakala PAS selaku anggota Pakatan Rakyat ketika itu memenangi Gombak Setia dan Hulu Kelang.

Tiada pilihan lain

Bagaimanapun wakil rakyat Hulu Kelang kemudian menyertai Parti Amanah Negara (AMANAH).

Calon PKR Amirudin Shari melengkapkan kemenanangan dengan menewaskan calon MIC dan calon bebas di Batu Caves.

Buat Low Sai Fatt (gambar, atas), 64, undinya bagi kerusi Gombak Setia dan Gombak pada pilihan raya lalu dibuat berdasarkan garis parti politik.

"Sekarang kami tiada pilihan," kata Low yang menggambarkan senario ulangan pada 2013 ketika Hasbullah Mohd Ridzuan (PAS) memenangi kerusi Gombak Setia dalam pertandingan satu lawan satu menentang Said Anuar Said Ahmad (BN), dengan majoriti 1,681.

"Sekarang kami perlu memilih calon PKR," kata Low yang menjelaskan pilihan raya mendatang ini bakal penyaksikan pertarungan tiga penjuru melibatkan BN, PAS dan HARAPAN.

Dari sudut sokongan orang ramai kepada Azmin, Low berkata menteri besar Selanngor itu secara umumnya jarang-jarang berada di sekitar kawasan itu, serta masih terdapat isu-isu seperti jenayah dan keselamatan yang belum diselesaikan.

Tiada manfaat undi MB

"Saya secara peribadi berasakan tidak ada kesan mengundi menteri besar sebagai anggota parlimen kami.

"Tiada manfaat yang benar-benar ketara buat kami," kata pesara itu ketika ditemui di kedai kopi setempat di Gombak Setia.

Ahli perniagaan Cheng Peak Weng, 55, juga bersetuju dengan pemerhatian Low terhadap ketidakhadiran Azmin di sekitar kawasan itu.

"Saya tidak boleh katakan beliau kuat atau tidak di sini. Beliau memang tidak selalu berada di sini tetapi sering kali menghantar petugasnya," katanya.

Semasa ketiadaan Azmin, menurut Cheah (gambar, bawah) penduduk tempatan umumnya berpuas hati dengan prestasi ADUN PAS mereka, meskipun menegaskan undi mereka akan menentang calon parti itu pada PRU ke-14.

"Hasbullah seorang yang baik. Saya tidak ada rasa apa-apa tidak pua hati terhadap beliau, tetapi partinya yang tidak baik.

"Ketika majlis keramaian kami, beliau datang dan membawakan kuih bulan.

"Tetapi para pemimpin PAS di atas sana mengatakan hal-hal yang mengejutkan kami bila mendengarnya. Kami tidak boleh menyokong mereka," kata Cheah yang mengundi di Gombak Setia.

Antara lain, Cheah merujuk kenyataan yang dibuat pelbagai pemimpin PAS mengenai pengasingan orang Islam dan bukan Islam, contohnya pengharaman kepada umat Islam daripada mengunjungi salun rambut bukan Islam.

Mengulas laporan tawaran Azmin kepada pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding di Gombak, Cheah bagaimanapun berkata tindakan itu tidak menjamin mempengaruhi undi Melayu di kawasan itu.

"Kawasan ini kamu tidak boleh cakap dijamin kemenangan (untuk HARAPAN). Azmin baru menang dua kali selepas Umno memegangnya untuk sekian lama," kata Cheah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS