INKUIRI SUHAKAM l Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) telah menangguhkan inkuiri siasatannya terhadap kehilangan paderi Raymond Koh sehingga diberitahu.

Pengerusi Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai membuat keputusan itu pada akhir hari ke-12 siasatan itu, selepas dimaklumkan bahawa seorang individu didakwa semalam berkaitan dengan penculikan Koh.

"Memandangkan keadaan dan perkembangan sejak semalam, kami membuat keputusan bahawa kami akan tangguhkan siasatan sehingga notis selanjutnya," kata Mah selepas mengadakan perbincangan dengan peguam yang mewakili ahli keluarga Koh dan Majlis Peguam.

Mah sebelum ini berkata, bahawa Suhakam dimaklumkan, melalui sepucuk surat daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun semalam bahawa pada hari sama seorang lelaki telah didakwa di mahkamah majistret di Petaling Jaya, di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.

Mah berkata Fuzi, meminta supaya Suhakam menghentikan siasatan, sambil melampirkan kertas pertuduhan terhadap Lam Chang Nam, 31, seorang pemandu Uber yang ditangkap pada 12 Jan lalu berkaitan dengan dakwaan penculikan Koh tahun lalu.

Lam memohon dibicarakan atas tuduhan memeras ugut RM30,000 daripada Jonathan Koh Szu Hao, 33, yang merupakan anak lelaki Koh.

Beliau berkata Fuzi juga memetik Seksyen 12 (2) Akta Suhakam 1999 yang menyatakan bahawa suruhanjaya itu tidak akan menyiasat apa-apa aduan berkaitan dengan sebarang tuduhan terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang menjadi subjek mana-mana prosiding yang belum selesai di mana-mana mahkamah , termasuk juga apa-apa rayuan.

[Baca berita penuh]