PKR memberi amaran kepada Perdana Menteri Najib Razak agar tidak menghalang mana-mana bahagian laporan audit forensik berhubung isu penjualan tanah Felda dari diterbit, sebagaimana yang disaksikan dengan laporan Ketua Audit Negara berhubung isu 1MDB.

Pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil merujuk keputusan kerajaan mengkelaskan laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Saya juga menggesa agar Najib berjanji untuk tidak sesekali menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) menghalang mana-mana bahagian laporan audit forensik tersebut dari diterbit, sebagaimana yang kita saksikan dengan laporan Ketua Audit Negara berhubung isu 1MDB.

“Amatlah penting laporan forensik tersebut diterbitkan sepenuhnya, agar kepercayaan umum akan dikembalikan terhadap Felda,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, Berita Harian melaporkan isu penjualan tanah Felda di Jalan Semarak di Kuala Lumpur kepada Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) melalui transaksi yang meragukan.

Syarikat itu didakwa menggunakan surat kuasa wakil penuh yang diberikan kepadanya untuk memindahkan tanah tanpa pengetahuan lembaga pengarah Felda.

Tanah tersebut bagaimanapun telah dipulangkan selepas mendapat bantahan umum.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebelum ini mempersoalkan sama ada Najib bertanggungjawab memberikan kuasa wakil penuh kepada syarikat berkenaan memandangkan Felda berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad menegaskan bahawa Najib tidak terlibat dalam pemindahan tanah berkenaan.

Namun Fahmi dalam kenyataan hari ini mempersoalkan dalang yang bertanggungjawab dalam pemindahan tanah yang meragukan itu dan menegaskan ia perlu dinyatakan dengan jelas dalam audit forensik.

Untuk rekod, arahan audit forensik berkenaan dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri.

[Baca berita penuh]