Seramai 753 murid sekolah rendah di Sarawak tidak dapat bersekolah berikutan sekolah mereka terpaksa ditutup kerana jalan tidak dapat dilalui akibat banjir.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), jumlah sekolah ditutup meningkat kepada tujuh buah hari ini berbanding lima sekolah semalam.

Dua sekolah yang ditutup hari ini ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Genaan dan SK Bukit Balai, kedua-duanya di daerah Sebauh, Bintulu.

“Lima sekolah masih ditutup sejak Isnin lepas dengan sekolah paling banyak ditutup di Miri melibatkan tiga sekolah iaitu SK Sungai Bong, SK Kuala Bok dan SK Rumah Ranggong, selain SK Kuala Kenyana, Mukah dan SK Nanga Bon di Sibu,” kata jawatankuasa itu dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut JPBNS, 16 sekolah rendah iaitu 10 di Miri, lima di Sibu dan sebuah di Bintulu turut terjejas akibat banjir hari ini tetapi masih beroperasi seperti biasa.

Di Johor, mangsa banjir di Segamat berkurangan kepada 33 orang daripada lapan keluarga pagi ini berbanding 34 orang daripada sembilan keluarga, malam tadi.

Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 8 pagi, pusat pemindahan sementara (PPS) Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak menempatkan seramai 29 orang daripada tujuh keluarga manakala Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam pula menempatkan empat orang daripada sebuah keluarga.

"Kesemua mangsa merupakan penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Tekam," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Ayub berkata cuaca di sekitar Segamat dilaporkan cerah dan pemantauan terhadap banjir masih dilakukan agensi berkaitan.

Di Pahang, seramai 102 mangsa banjir masih berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pekan, setakat 8 pagi ini.

Menurut Portal InfoBanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), dua PPS yang masih beroperasi ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai yang menempatkan 93 mangsa daripada 24 keluarga.

Baki sembilan mangsa daripada dua keluarga pula ditempatkan di SK Acheh.

- Bernama