Seorang penduduk Islam ditembak mati manakala seorang lagi cedera parah, dalam satu serangan ke atas sebuah kedai kopi di Kampung Tonmaisoong di wilayah selatan Thai malam tadi.

Menurut polis hari ini, Sermsak Bianarware, 54, ditembak tiga kali oleh mereka yang disyaki anggota militan, dan mati di tempat kejadian di kampung tersebut di wilayah Narathiwat.

Seorang lagi penduduk, Dueramae Sulong, 62, mengalami kecederaan dan dirawat di hospital daerah Sungai Golok.

Pasukan tentera akan dihantar ke Kampung Tonmaisoong hari ini untuk menyiasat serangan tersebut yang berlaku serupa dengan serangan ke atas sebuah kedai kopi di Kampung Tanyong Limo, juga di Narathiwat, sebelum ini, yang mengakibatkan dua terbunuh dan tiga lagi cedera.

Pihak berkuasa mendakwa, dua anggota tentera yang dihantar untuk menyiasat serangan tersebut, telah ditangkap oleh penduduk di kampung terbabit dan kemudiannya dibunuh selepas 18 jam dalam tahanan.

Kematian mereka menggegarkan negara itu dan menjadi petanda pergeseran yang semakin buruk antara penduduk Islam di wilayah Selatan dengan pihak kerajaan.

Lebih 950 terkorban dalam kejadian menembak, letupan dan serangan, yang berlaku hampir setiap hari. Pihak berkuasa menuduh perbuatan dilakukan oleh puak pemisah, kumpulan jenayah dan amalan rasuah.

AFP