Anggota Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata beliau memohon maaf sekiranya pihak istana Pahang tersinggung dengan kenyataannya berhubung Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Menurut Mahfuz, beliau tidak mempunyai sebarang niat untuk menimbulkan kemurkaan pihak istana memandangkan kenyataan yang dibuat sebelum ini bukan bertujuan untuk menghina sesiapa.

Sebaliknya, tegas Mahfuz, ucapannya berhubung keadaan Sultan Ahmad itu bertujuan untuk memberitahu pada masyarakat bahawa faktor umur bukan penghalang seseorang menjadi pemimpin.

"Saya tak ada niat nak timbulkan kemurkaan pihak istana. Saya bukan hina.

"Kalau dengar ucapan saya, apa yang saya timbulkan ialah isu faktor umur bukan penghalang seseorang itu untuk jadi pemimpin atau ketua.

"Ini (umur) bukan penghalang. Kalau Sultan Pahang boleh jadi sultan, jadi tak ada masalah untuk orang lain (jadi pemimpin)," katanya kepada Malaysiakini.

Rakaman jadi tular

Mahfuz berkata demikian sebagai mengulas laporan berita berhubung kemurkaan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang dilaporkan terguris dengan kenyataan beliau.

Menurut laporan Bernama Tengku Abdullah beranggapan tindakan Mahfuz itu melanggar tatatertib.

"Saya tidak hendak bercakap banyak, tetapi kalau kita dengar dan lihat percakapannya, sudah melanggar tatatertib bagi seorang yang muda sedikit daripada ayahanda saya.

"Sebagai orang Melayu, kita diasuh untuk menghormati orang yang lebih tua, tambah-tambah lagi orang ini adalah seorang raja... jadi janganlah tidak bertempat," katanya.

Tengku Abdullah turut tersinggung apabila rakaman video Sultah Ahmad menyambut ulang tahun keputeraan dalam kamar beradunya menjadi tular sehingga menjadi tontonan umum.

Lebih membuatkan Tengku Abdullah tersinggung ialah perbuatan itu dilakukan oleh mereka yang dipercayai dari dalam istana sendiri.

Kata Mahfuz beliau meminta maaf kalau ucapannya itu dianggap satu kesalahan oleh pihak istana.

"Kalau terasa, saya mohon maaf pada pihak istana Pahang kalau itu jadi satu kesalahan pada pihak istana," katanya.

Mahfuz juga sebelum ini menafikan menghina Sultan Ahmad Shah yang sedang gering dan mendakwa beliau memuji baginda dalam video ucapannya itu.