Setahun sudah berlalu sejak Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Lim Guan Eng dalam saman fitnahnya terhadap New Straits Times Press (M) Bhd, Utusan Malaysia dan PERKASA - tetapi alasan atau penghakiman bertulis mahkamah rayuan itu masih belum dikeluarkan.

Ini didedahkan oleh peguam ketua menteri Pulau Pinang itu, Americk Sidhu, semasa pengurusan kes hari ini di pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan.

"Kami masih menunggu alasan penghakiman bertulis sejak keputusan dibuat pada Disember 2016," kata Americk, sambil menambah pengurusan kes seterusnya mengenai permohonan rayuan Lim telah ditetapkan pada 12 Mac ini.

Alasan bertulis itu diperlukan untuk memorandum dan rekod rayuan yang difailkan di Mahkamah Persekutuan bagi rayuan Lim terhadap keputusan Mahkamah Rayuan.

Lazimnya, penghakiman bertulis dikeluarkan dalam tempoh enam bulan setelah penghakiman disampaikan. Terdapat pekeliling mengenai perkara itu yang diedarkan kepada hakim - tetapi seperti dalam kes kematian A Kugan dalam tahanan polis -alasan bertulis memakan masa lebih lama.

Dalam penghakiman 21 Disember 2016, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Datuk Rohana Yusof, yang bersidang bersama dengan Tan Sri Idrus Harun dan Datuk Mary Lim, sebulat suara memutuskan bahawa ketua menteri Pulau Pinang itu dalam kapasiti rasminya, tidak boleh mendakwa kedua-dua kumpulan media berkenaan untuk fitnah.

Hakim Rohana berkata panel membuat keputusan itu kerana terikat dengan keputusan kes Utusan Melayu (M) Bhd lawan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, bahawa pegawai awam tidak boleh menyaman media untuk fitnah dalam kapasiti rasmi mereka.

[Baca berita penuh]