Kira-kira 50 pembeli flat kos sederhana rendah Taman Ampang Mewah,dekat Kuala Lumpur akan mengadakan perbincangan dengan pemaju projek tersebut kerana belum memperolehi geran hakmilik walaupun pinjaman sudah selesai dibayar.

Presiden Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas), Tan Jo Hann berkata, perbincangan itu akan turut dihadiri wakil Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) kerana rumah itu dibina oleh pemaju, Seimbang Sdn Bhd.

Tan berkata demikian selepas menyerahkan memorandumbagi pihak penduduk berkenaan, kepada Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad di Ibu Pejabat MPAJ, pagi tadi.

Dalam memorandum tersebut, katanya, penduduk risau kerana sehingga ini mereka belum mendapat geran hak milik meskipun mereka sudah selesai membayar harga rumah RM18,000 kepada pemaju Seimbang Sdn Bhd.

Penduduk juga, katanya, mengadu dikenakan bayaran pengurusan yang tinggi oleh pihak pemaju manakala tempat letak kereta tidak mencukupi dan rumah mereka tidak mempunyai sijil layak duduk (CF).

Menurutnya, kadar bayaran pengurusan yang dikenakan kepada penduduk ialah RM30 sebulan (tidak termasuk dikenakan faedah jika bayaran lambat dibuat), adalah mahal berbanding dengan perkhidmatan yang diberikan.

"Tempat letak kereta tidak dapat menampung keperluan yang semakin meningkat, menyebabkan banyak kenderaan terpaksa diletakkan di tepi jalan atau di tepi longkang," katanya.

Penduduk juga, katanya, mengadu bayaran bil seragam bagi bekalan air yang mereka dakwa terlalu mahal manakala kerosakan meter air bersepadu tidak dibaiki.

Tarif air tinggi

Menurutnya, tarif bayaran air 75 sen setiap meter padu amat tinggi kerana kadar tersebut adalah untuk kondominium dan bukannya flat kos sederhana rendah.

"Penghuni mahu mereka dikenakan tarif air 50 sen setiap meter padu sepertimana yang dikenakan kepada pengguna flat yang lain di kawasan Ampang," katanya.

Tan juga mendakwa, dua tangki air besar yang digunakan oleh penduduk Taman Ampang Mewah sejak 15 tahun lalu, hanya dicuci dua kali, menyebabkan air berkarat dan membahayakan kesihatan penduduk.

Sementara itu, seorang penduduk flat berkenaan, Loh Lam Woo berkata, satu lagi masalah yang sering berlaku ialah bekalan air sering terganggu, menyebabkan penduduk terpaksa mendapatkannya di tempat lain.

Katanya, ia menimbukkan kesulitan kepada penghuni tingkat atas dan juga kepada orang tua.

Sementara itu, Norhayati berkata, pihaknya akan mengatur perbincangan dengan pemaju bagi mengenal pasti masalah yang menyebabkan penghuni tidak mendapat geran hak milik serta beberapa masalah lain.

Selepas itu, katanya, pegawai MPAJ akan mengadakan lawatan ke flat Taman Ampang Mewah untuk melihat sendiri masalah yang dihadap penduduk di kawasan perumahan tersebut.