story images
story images
mk-logo
Berita
PAS: Mahathir masih rasa dia PM
Diterbitkan:  Jan 17, 2018 5:55 PM
Dikemaskini: 10:12 AM

PAS berpendapat semakin giat parti itu diserang Pengerusi Pakatah Harapan (HARAPAN), Tun Dr Mahathir Mohamad, semakin gigih mereka bangkit melawan.

Dan lawan mereka bukan saja BN, malah HARAPAN sendiri.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata pihaknya yakin Dr Mahathir akan terus menyerang parti itu selepas ini.

"Lagi kuat Dr Mahathir serang, lagi bersemangat ahli PAS untuk bekerja melawan HARAPAN dan BN.

"PAS bersedia dengan apa (saja) tuduhan dan serangan, biar rakyat menjadi hakim. Rakyat yang rasional akan menilai segala tuduhan Dr Mahathir," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Idris yang juga anggota parlimen Bukit Gantang berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu yang meminta PAS menamakan calon perdana menteri mereka.

HARAPAN sudah menamakan secara rasmi Dr Mahathir sebagai pertaruhan mereka untuk menarik sokongan pengundi dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Bagaimanapun PAS - yang membentuk Gagasan Sejahtera - tidak menamakan sebarang tokoh.

Najib dapat tarbiah Mahathir

Setiausaha agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, sebaliknya berkata isu calon perdana menteri PAS akan dibincangkan apabila tiba waktu yang sesuai.

Pada masa sama Takiyuddin menegaskan pilihan mereka sudah pasti bukan Dr Mahathir atau Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Idris ketika HARAPAN bergerak melawan perdana menteri, hakikatnya segala tindak-tanduk Najib adalah hasil tarbiah Dr Mahathir sendiri.

"Apa yang dilakukan oleh Najib, gurunya ialah Dr Mahathir selama 22 tahun. Dr Mahathir yang tarbiah Najib, maka inilah hasilnya," katanya lagi.

Idris juga sempat menyindir Dr Mahathir kerana memegang kuasa "lama sangat" sehingga masih menganggap dirinya tetap perdana menteri ketika ini.

Hakikatnya kata Idris Dr Mahathir kini adalah pembangkang.

Kata Idris Dr Mahathir memberi amaran kepada PAS seolah-olah beliau memberi arahan kepada ketua bahagian Umno serta anggota jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) semasa masih menjadi perdana menteri.

"Jangan Tun bangun pagi-pagi hendak masuk pejabat perdana menteri di Putrajaya sudahlah," katanya.

Menurut Idris lagi Dr Mahathir tersilap jika menyangka PAS boleh diberi amaran sebegitu.

"Semasa beliau berkuasa pun PAS lawan, tidak munasabah jika beliau yang tidak ada kuasa (sekarang) PAS tidak berani lawan," katanya.

Menurut Idris untuk melawan Umno pula hanya PAS yang mampu kerana partinya itu memiliki kekuatan organisasi, selain mampu menyantuni pengundi Melayu di luar bandar.

"Tanpa sokongan undi Melayu di negara ini kata tidak ada sesiapa boleh memerintah," katanya.

Mengenai calon perdana menteri, Idris berkata PAS menolak Dr Mahathir kerana rekod yang "semua rakyat tahu" termasuk di kalangan pemimpin HARAPAN yang "mengampu dia sekarang".

"Najib pula PAS tolak kerana (beliau) meneruskan agenda Dr Mahathir.

"Bukankah Dr Mahathir yang bersetuju untuk tendang Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk digantikan dengan Najib?" katanya.

Lihat Komen
ADS